Russia Batal Jual Su-35 Pada Iran, Israel jadi Punca?

Media melaporkan kemungkinan Russia dan Israel telah mencapai kompromi di mana Moscow bersetuju untuk tidak menjual pesawat pejuang Su-35 kepada Iran dan sebagai balasannya, Tel Aviv tidak akan membekalkan senjata kepada Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media tempatan di Iran menyatakan bahawa Russia kini “berfikir dua kali” untuk menjual 24 buah pesawat pejuang Su-35 kepada negara Parsi itu, dengan spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa keengganan Moscow menjual pesawat pejuang generasi 4.5 itu kepada sekutunya, Teheran  disebabkan oleh Israel.

Tel Aviv sememangnya tidak mahu melihat Iran dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang moden.

Media melaporkan kemungkinan Russia dan Israel telah mencapai kompromi di mana Moscow bersetuju untuk tidak menjual pesawat pejuang Su-35 kepada Iran dan sebagai balasannya, Tel Aviv tidak akan membekalkan senjata kepada Ukraine.

Pesawat Su-35 melancarkan peluru berpandu R-37M.

 

Israel dilaporkan menerima tekanan daripada Amerika Syarikat,NATO dan negara-negara Eropah yang lain supaya membekalkan senjata terutamanya sistem pertahanan udara “Iron Dome” kepada Ukraine.

Namun sehingga kini, Israel enggan tunduk kepada desakan Amerika Syarikat dan Eropah, malah masih berhubung dengan Russia dalam mencari jalan penyelesaian di Ukraine.

Russia sepatutnya mula menghantar pesawat-pesawat pejuang Su-35 itu kepada Iran pada Mac lepas, tetapi sehingga kini tiada petanda bahawa Iran akan menerima pesawat moden itu, menyebabkan media-media di negara itu mula membuat spekualasi berkenaan punca kepada “masalah” itu.

Sebanyak 24 buah pesawat pejuang Su-35 itu pada mulanya akan dijualkan kepada Mesir, tetapi Kaherah membatalkan pembelian itu selepas diancam oleh Amerika Syarikat akan dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekira ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.

Selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat Su-35 itu, Russia bertindak menjual pesawat itu kepada Iran.

Pesawat Sukhoi Su-35 (Flanker-E)

 

Ditanya bilakah pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu akan diterima oleh Iran, menteri pertahanan negara itu Mohamad-Reza Gharaei Ashtiani berkata bahawa industri pertahanan negara itu berkemampuan membina pesawat pejuangnya sendiri.

“Suatu ketika kita telah membuat perjanjian (dengan Russia) tentang pembelian itu (Su-35 daripada Russia), namun kita juga membuat kesimpulan bahawa kita boleh menghasilkan pesawat pejuang di dalam negara,” kata beliau.

Menteri Pertahanan Iran itu juga berkata pihak berkuasa negara itu sedang “menyiasat” perkara berkenaan dan pembelian pesawat pejuang itu boleh dikaji semula sekiranya difikirkan perlu.

Jawapan beliau itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa perjanjian pembelian 24 buah pesawat Su-35 oleh Iran itu sedang berhadapan dengan masalah, namun tiada kennyataan rasmi daripada kerajaan Iran setakat ini.

Laporan daripada media Iran yang memetik sumber dalaman di Tentera Udara Iran menyatakan bahawa mereka menolak pembelian pesawat Su-35 daripada Russia selepas kerajaan di Moscow enggan memindahkan teknologi bagi pembuatan komponen pesawat itu di Iran serta berkongsi pengetahuan tentang aspek penyelenggaraan pesawat itu.

Russia dikatakan hanya mahu menjual pesawat pejuang itu kepada Iran tanpa menyediakan sebarang khidmat penyelenggaraan, persenjataan atau bantuan alat-alat ganti.

Moscow juga menolak permintaan Teheran untuk 12 buah simulator pesawat itu serta varian pesawat dua tempat duduknya.

Penerimaan pesawat pejuang generasi 4++ buatan Russia itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.
Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.
Dron “Shahed-136” buatan Iran

 

Pada masa yang sama, negara-negara pro-Amerika di Timur Tengah juga gusar akan kehadiran pesawat-pesawat moden Tentera Udara Iran yang akan memberikan saingan terhadap pesawat moden mereka.
Kali terakhir Iran membeli pesawat pejuang adalah pada pertengahan 1990-an apabila ia memperolehi sejumlah pesawat MiG-29 Fulcrum.
Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.

Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.

Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Amerika SyarikatfeaturedIranPesawat PejuangRussiaSu-35
Comments (0)
Add Comment