Singapura Naik Taraf Kemampuan Helikopter Penyerang AH-64D Apache Miliknya

Panglima Tentera Udara Singapura Mej Jeneral Kelvin Khong berkata helikopter bersenjata Apache AH-64D republik itu akan terlibat dengan program Service Life Extension Program (SLEP) yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf kemampuannya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Singapura dilapor bakal meningkatkan lagi kemampuan helikopter penyerang AH-64D Apache menerusi program naiktaraf yang bakal dilaksanakannya untuk memastikan helikopter itu terus berkhidmat sehingga 2030-an.

Bercakap kepada media-media pertahanan antarabangsa sempena Singapore Air Show 2024, Panglima tentera udara republik itu Mej Jeneral Kelvin Khong berkata helikopter bersenjata itu akan terlibat dengan program Service Life Extension Program (SLEP) yang melibatkan kerja-kerja naiktaraf kemampuannya.

“Tentera Udara Singapura akan melaksanakan SLEP untuk helikoter-helikopter bersenjata AH-64D untuk memastikan helikopter itu sentiasa bersedia untuk beroperasi selepas 2030,” kata beliau yang akan bersara sebagai Panglima Tentera Udara Singapura pada Mac ini.

Helikopter penyerang AH-64D itu dibangunkan oleh syarikat Boeing.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Singapura memperolehi kumpulan pertama lapan buah helikopter bersenjata AH-64D pada 1999 dan menambah perolehan itu dengan pembelian 12 buah AH-64D pada 2001.

Helikopter penyerang Apache Singapura

 

Membawa keseluruhan helikopter bersenjata buatan Amerika Syarikat dimiliki oleh republik itu kepada 20 buah.

Perolehan helikopter-helikopter bersenjata itu dilakukan bersama-sama radar kawalan tembakan (fire-control radar) “Longbow”, peluru berpandu “Hellfire” dan roket “Hydra 70.”

Sebagaimana dilaporkan oleh media sebelum ini juga, lapan daripada helikopter bersenjata AH-64D Apache milik Tentera Udara Singapura itu ditempatkan di Arizona National Guard Silverbell Army Heliport di Amerika Syarikat untuk tujuan latihan krew di bawah Detasmen Peace Vanguard.

Lagi 12 buah helikopter bersenjata AH-64D Apache milik Singapura itu ditempatkan di Pangkalan Udara Sembawang di republik dan beroperasi di bawah Skuadron 120.

AH-64 “Apache”.

 

Pada 2017, Tentera Udara Singapura memaklumkan bahawa ia telah memulakan usaha naiktaraf helikopter penyerang AH-64D Apache miliknya dengan melengkapkannya dengan Helicopter Integrated Electronic Warfare System (HIEWS) yang dibangunkan oleh firma pertahanan syarikat Israel, Elbit Systems.

Selain itu ia juga dilengkapkan dengan komunikasi satelit sebagaimana dilakukan oleh helikopter penyerang Apache milik Israel, selain Radar Warning System (RWS) yang dibangunkan oleh syarikat Israel, Elbit.

Selain Singapura, Indonesia juga merupakan negara Asia Tenggara yang kedua mengoperasi helikopter bersenjata Apache AH-64. — DSA

(BERITA TENTANG HELIKOPTER PENYERANG APACHE)


AH-64DApachefeaturedSingapura