Arab Saudi,Mesir Sedang Berunding Untuk Beli Lebih Banyak Senjata Dari China

Kedua-dua negara Timur Tengah itu, Arab Saudi dan Mesir dikatakan sedang mengadakan rundingan dengan China untuk memperolehi pelbagai jenis sistem persenjataan daripada dron, sistem pertahanan udara kepada pesawat pejuang J-10C, sekaligus membuktikan bahawa pengaruh Amerika Syarikat di rantau itu semakin pudar. Beijjing kini mengambilalih tempat Washington di Timur Tengah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu lagi bukti menunjukkan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah semakin pudar, Arab Saudi dan Mesir dilaporkan sedang berbincang dengan Beijing untuk memperolehi  pelbagai sistem persenjataan termasuk pesawat pejuang J-10C buatan syarikat negara itu.

Apa yang menarik adalah, laporan media Timur Tengah menyatakan bahawa pegawai-pegawai Mesir telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pembuat pesawat pejuang J-10C itu, Chengdu Aircraft Industry Group ketika di LIMA ’23 di Pulau Langkawi.

Pesawat J-10C turut berada di Langkawi memandangkan ia adalah pesawat pilihan pasukan aerobatik Tentera Udara China (PLAAF), “August 1st.”

Pasukan aerobatik PLAAF “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Pada ketika ini, Beijing hanya mengeksport pesawat pejuang satu enjin J-10C kepada Tentera Udara Pakistan.

Sebelum perlantikan Presiden Jo Biden daripada parti Demokrat, Arab Saudi dan Mesir merupakan sekutu tegar Amerika Syarikat di Timur Tengah, dengan Kaherah adalah penerima bantuan ketenteraan setiap tahun daripada Washington manakala Riyadh adalah pelanggan utama senjata buatan Amerika.

Namun, keadaan telah berubah kini dengan China semakin ke depan di Timur Tengah ketika pentadbiran Jo Biden mengurangkan peranannya di rantau itu, manakala negara-negara Arab mula mempelbagaikan sumber persenjataannya dan tidak lagi bergantung pada Washington.

 Peluang itu telah diambil oleh Beijing yang bukan sahaja mempromosi syarikat-syarikat berteknologi tingginya seperti Huawei untuk menembusi pasaran di Timur Tengah,tetapi juga sistem persenjataan yang dihasilkan olehnya.

Pesawat pejuang J-10C yang dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.

Sistem pertahanan udara HQ-17AE buatan China yang dikatakan mahu dimiliki oleh Arab Saudi.

 

Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.

Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.

Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.

Kini,Saudi Arabian Military Industries (SAMI) dikatakan sedang berbincang dengan China North Industries Group Corporation (NORINCO) untuk membeli pelbagai jenis sistem persenjataan termasuklah  sistem pesawat tanpa pemandu dan sistem pertahanan udara.

Angkatan Tentera Arab Saudi bercadang memperolehi sistem pertahanan udara buatan China, HQ-17AE yang sebenarnya adalah berdasarkan kepada sistem pertahanan udara “TOR” yang dibangunkan oleh Russia.

Dron VTOL “CR500” buatan China

 

Cumanya, sistem pertahanan udara HQ-17AE itu telah dinaiktaraf dan kemampuannya telah dipertingkat oleh China.

Selain itu Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk membeli sistem dron VTOL (Vertical Take-Off Landing) CR500, dron Cruise Dragon 5, sistem loitering munition dan sistem dron Sky Saker FX80.

Baru-baru ini, penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang itu merupakan di antara kapal perang paling berkemampuan di dalam armada Tentera Laut China dan seringkali disamakan dengan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kapal destroyer Type 052D Tentera Laut China.

 

Dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), Vertical Launch System (VLS) yang berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan sistem fire-control termoden, Beijing membangunkan kapal perang Type 052D untuk memberikan saingan kepada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang “bersimpang-siur” di Laut China Selatan dan perairan di Indo-Pasifik.

Selain itu, kapal perang Type 052D itu turut dilengkapi dengan 64 buah cell VLS yang berkemampuan melancarkan peluru-peluru berpandu untuk menangani ancaman darat, udara, kapal serta bawah permukaan dibantu oleh radar AESA yang berkuasa tinggi itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Arab SaudiChinafeaturedJ-10CMesirSenjata