(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selat Melaka yang sentiasa sibuk dengan kapal-kapal perdagangan bertukar menjadi “medan peperangan” dengan kehadiran kapal-kapal perang daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kapal-kapal TLDM itu sebenarnya terlibat dalam latihan Perang Pangkor (Pangkor War) baru-baru ini yang meneruskan lagi kesinambungan latihan kesiagaan TLDM secara keseluruhannya.
“Latihan ini merupakan inisiatif berterusan yang dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan,” kata Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial tentera laut.
Kapal-kapal TLDM yang terlibat dalam “Pangkor War” itu adalah KD Laksamana Hang Nadim, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Mahamiru, KD Kinabalu dan KD Sundang serta disokong oleh Fast Combat Boat.
Menurut MPAB lagi, pelbagai siri latihan telah berjaya diterjemahkan antaranya meliputi aspek latihan Navigasi, Komunikasi, llmu Kelautan dan Peperangan.
Sebagai nilai tambah, latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) turut dilaksanakan bagi menguji tahap ketersediaan warga kapal dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka dalam situasi sebenar di lapangan.
Latihan kesiagaan ini adalah merupakan sebuah pendekatan efektif yang digunapakai bagi mengekalkan tahap profesionalisme warga untuk sentiasa berada pada tahap yang tertinggi dalam mendepani sebarang situasi konflik atau peperangan sebenar.
Latihan berkala secara berterusan akan terus dilaksanakan dalam memastikan armada TLDM sentiasa berada ditahap kesiagaan yang tertinggi serta mampu menangani sebarang ancaman yang mendatang pada sebilang masa.
Si vis pacem, para bellum atau “If You Want Peace, Prepare For War.”
Dengan panjang 580 mi ( 930 km), Selat Malaka adalah adalah laluan perhubungan utama antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, selain merupakan salah satu laluan perkapalan yang terpenting di dunia.
Dari segi ekonomi dan strategik, Selat Malaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia, sama pentingnya dengan Terusan Suez atau Terusan Panama.
Selat Melaka membentuk jalur pelayaran terusan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta menghubungkan tiga dari negara-negara dengan jumlah penduduk terbesar di dunia: India, Indonesia dan China.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Kira-kira 50,000 kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka dari barat ke Timur setiap tahun.
Oleh kerana itulah Selat Melaka sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia khususnya kepada negara Amerika Syarikat, Jepun , China dan lain-lain negara di Asia Tenggara.
Hampir satu per-lima perdagangan dunia terpaksa melalui Selat Melaka. — DSA