Satelit Rakam Kapal Selam Nuklear China Sedang Menuju Ke Laut China Selatan

Ia bukan pangkalan laut sembarangan kerana Yulin merupakan pangkalan utama bagi armada kapal selam China di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita ketahui, pangkalan tentera laut Yulin di Pulau Hainan adalah antara lokasi tentera milik China yang paling menarik perhatian negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Ia bukan pangkalan laut sembarangan kerana Yulin merupakan pangkalan utama bagi armada kapal selam China di Laut China Selatan.

 

 

Di Yulin, tentera laut China menempatkan pelbagai jenis kapal selam termasuk yang berkuasa nuklear seperti Type 094 kelas Jin , sebahagiannya di kemudahan bawah tanah yang dibina khusus untuk pangkalan itu.

Dari Yulin, kapal-kapal selam China dengan mudah menyelam ke Laut China Selatan.

Oleh kerana kepentingannya kepada China dan cita-citanya terhadap Laut China Selata, maka pangkalan laut Yulin berkemungkinan sentiasa berada di bawah pemantauan sepanjang masa satelit-satelit pengintip.

Dengan pemantauan berterusan satelit-satelit pengintip, mungkin sukar untuk China menyembunyikan apa-apa di pangkalan laut Yulin.

Semalam, laman-laman Twitter pemerhati pertahanan antarabangsa @OSINT_1 telah mengeluarkan sekeping gambar (di atas)  yang mengambarkan kesukaran yang dialami oleh pangkalan laut Yulin dalam menyembunyikan kegiatannya.

 

Kedudukan pangkalan laut Yulin milik China di Pulau Hainan.

 

Gambar itu menunjukkan sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik China, Type 094 daripada kelas-Jin sedang belayar menuju ke Laut China Selatan, berkemungkinan untuk melaksanakan misi-misi rondaannya.

Kapal selam Type 094 kelas-Jin adalah kapal selama paling berkuasa China,yang mampu membawa sehingga 12 peluru berpandu nuklear antara benua JL-2  yang mampu membedil sasaran sejauh 7,200km.

China dikatakan memiliki enam buah kapal selam Type 094 kelas-Jin pada ketika ini.

Jika pergerakan kapal selam pun boleh dikesan dengan mudah oleh satelit, maka tidak ada lagi yang boleh disembunyikan.

Apa yang menarik lagi adalah, gambar yang dikeluarkan oleh akaun Twitter itu dicerap daripada satelit komersial yang tahap resolusinya adalah kurang berbanding dengan tahap resolusi oleh satelit-satelit milik tentera.

Imej satelit menunjukkan kehadiran kapal pengangkut China, Liaoning di pangkalan laut Yulin di Pulau Hainan.

 

Ia adalah imej satelit daripada Open Source Intelligence (OSINT) dan bukan daripada milik tentera.

Tetapi daripada maklumat OSINT pun, pergerakan kapal selam nuklear yang sepatutnya menjadi rahsia besar kini dengan mudah diketahui oleh seluruh dunia.

Ini belum lagi maklumat daripada satelit-satelit milik tentera yang lagi berkemampuan.

Tiada tempat lagi untuk bersembunyi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKapal SelamKelas JinOsint. Laut China Selatan