Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal “Ever Given” Berjaya Diapungkan, Terusan Suez Bakal Dibuka Semula

Kejayaan mengapungkan semula kapal seberat 220,000 tan  dan sepanjang 440 meter itu memberi harapan tinggi bahawa kapal-kapal dagang daripada seluruh dunia akan dapat melalui semula Terusan Suez itu dan menyambung semula perdagangan dunia yang terjejas.

0 2,588

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Selepas enam hari tersekat ditebing Terusan Suez (Suez Canal) sekaligus menghalang arteri penting perdagangan dunia,  akhirnya kapal kontena “Ever Given” berjaya diapungkan semula awal pagi ini.

Kejayaan mengapungkan semula kapal seberat 220,000 tan  dan sepanjang 440 meter itu memberi harapan tinggi bahawa kapal-kapal dagang daripada seluruh dunia akan dapat melalui semula Terusan Suez itu dan menyambung semula perdagangan dunia yang terjejas.

Ever Given

Menurut kenyataan daripada Inchcape Shipping Services, kapal “Ever Given” yang dimiliki oleh firma perkapalan Jepun, Shoei Kikan tetapi dioperasi oleh Evergreen Marine daripada Taiwan berjaya diapungkan semula kira-kira pada pukul 4.30 pagi waktu Mesir.

Ia melibatkan usaha menarik bahagian depan kapal itu yang tersekat di tebing terusan itu menggunakan 10 buah bot tunda, menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez.

Pihak-pihak terbabit menggunakan bot-bot tunda dan mesin pengorek pasir dalam usaha “membebaskan” bahagian hadapan kapal “Ever Given” yang tersekat kira-kira lima meter di dalam pasir dan selut di tebing terusan itu.

Kapal “Ever Given” itu juga membawa kira-kira 20,000 kontena.

Bagaimanapun pihak berkuasa di terusan itu tidak memberikan tempoh waktu bila Terusan Suez itu akan dapat dilalui semula oleh kapal-kapal dagang, yang terkandas di terusan terbabit selepas kapal “Ever Given” menghadapi masalah.

Ever Given

Laporan mengatakan terdapat 450 kapal dagang dan kapal-kapal tangki terkandas di Terusan Suez apabila laluan diterusan itu dihalang oleh kapal “Ever Given”.

Terdapat juga kapal-kapal dagang yang memilih untuk menggunakan laluan yang jauh iaitu mengelilingi Cape of Good Hope di benua Afrika selepas menyedari laluan di Terusan Suez itu tidak dapat digunakan akibat dihalang oleh kapal “Ever Given.”

Setiap tahun, kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan dunia bernilai US$1 Trillion menggunakan Terusan Suez itu terutamanya bagi perdagangan Asia-Eropah.

Pakar-pakar perkapalan sedunia menganggarkan perdagangan dunia menanggung kerugian sebanyak U$400 juta bagi setiap jam Terusan Suez ditutup kepada laluan kapal-kapal.

Untuk sehari Terusan Suez ditutup, sektor perkapalan dunia mengalami kerugian di antara US$5 billion hingga US$10 billion.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...