Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Utara Pertingkat Keupayaan Peluru Berpandu Taktikal, Jarak 600km Dan Peledak 2.5 Tan

Peluru berpandu “KN-23” itu kini mampu membawa bahan peledak seberat 2.5 tan berbanding hanya 1 tan sebelum ini.

0 1,155

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Khamis lalu, pihak Korea Utara telah melancarkan dua butir peluru berpandu jarak dekat ke kawasan perairan berhampiran Jepun, beberapa hari selepas rakyatnya diekstradisi daripada Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pelancaran peluru berpandu tersebut disifatkan oleh penganalisis keselamatan sebagai satu “amaran” kepada pentadbiran presiden Amerika Syarikat yang baru, Jo Biden.

Peluru Berpandu
Peluru berpandu jarak dekat Korea Utara “KN-23”

Pihak tentera Korea Selatan berkata, kedua-dua peluru berpandu itu dilancar daripada kawasan bernama Hamju di daerah Selatan Hamgyong di Korea Utara ke arah kawasan perairan di utara negara itu berhampiran Jepun di antara pukul 7.06 pagi hingga 7.20 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.

Kedua-dua peluru berpandu yang dipercayai dilancarkan daripada darat itu pada mulanya dipercayai mampu terbang sejauh 450km dan setinggi 60km.

Pada Khamis, pihak keselamatan Korea Selatan berkata jenis peluru berpandu yang dilancarkan oleh Pyonyang masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun pihak keselamatan di Seoul kini percaya bahawa dua butir peluru berpandu jarak pendek yang dilancarkan oleh Korea Utara adalah daripada jenis “KN-23” tetapi versi yang dipertingkatkan kemampuannya.

Peluru berpandu jarak dekat Korea Utara “KN-23” ini dipercayai dibangunkan daripada peluru berpandu taktikal jarak dekat keluaran Russia, “Iskander.”

Peluru berpandu jarak dekat “KN-23” Korea Utara itu mula dipertontonkan kepada khalayak ramai pada Januari lepas.

Peluru Berpandu

Ia dilancarkan menggunakan Transporter Erector Launcher (TEL) yang menunjukkan ia adalah peluru berpandu lancaran bergerak dan sukar untuk dikesan oleh musuh.

Namun apa yang lebih menggusarkan pihak keselamatan Korea Selatan adalah peluru berpandu yang dilancarkan oleh Korea Utara pada Khamis lepas memiliki jarak yang lebih jauh dan membawa bahan peledak yang lebih berkuasa.

Peluru berpandu “KN-23” itu kini mampu membawa bahan peledak seberat 2.5 tan berbanding hanya 1 tan sebelum ini.

Versi dipertingkatkan peluru berpandu jarak dekat “KN-23” itu kini mampu membedil sasaran sejauh 600km berbanding 230km sebelum ini.

Dengan jarak yang dipertingkatkan kepada lebih 600km, peluru berpandu Korea Utara itu didakwa oleh pakar-pakar di Seoul mampu membedil mana-mana sasaran di seluruh Korea Selatan tanpa berhadapan dengan masalah.

Pakar keselamatan Korea Selatan mendakwa peluru berpandu “KN-23” itu adalah saingan kepada peluru berpandu taktikal yang dibangunkan oleh Seoul iaitu “Hyunmoo-4”, yang mempunyai jarak effektif sasaran sejauh 800km.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...