Satelit Kesan Kehadiran Kapal Pengintip China Di “Pulau Buatan Manusia”Di Spratly

Kapal pengintip itu dikenali dengan identifikasi Type-815G Intelligence Gathering Ship.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Imej-imej satelit terkini menunjukkan kehadiran sebuah kapal “pengintip” China berada di perairan berhampiran salah sebuah “Pulau Buatan Manusia,” Fiery Cross Reef di Kepulauan Spratly.

Kapal pengintip itu dikenali dengan identifikasi Type-815G Intelligence Gathering Ship,  yang merupakan kapal pemantau elektronik (ELINT) kelas-Dongdiao milik Tentera Laut China.

Pada ketika ini, Tentera Laut China mengoperasikan empat buah kapal pengintip jenis ini dan kapal-kapal pengintip ini kerapkali dikerah oleh China untuk memantau kehadiran kapal perang musuh terutamanya Amerika Syarikat di Laut China Selatan.

Imej-imej oleh satelit Maxar itu turut mengesan kehadiran sebuah pesawat peronda maritime Y-8Q milik Tentera Udara China serta sebuah pesawat amaran awal dan kawalan KJ-500 di pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh China itu.

Pulau buatan manusia, Fiery Cross Reef yang terletak tidak jauh daripada Sabah (kira-kira 540km)  itu merupakan diantara beberapa terumbu karang yang menjalani proses penambakan secara besar-besaran oleh pihak China untuk dijadikan pulau-pulau buatan manusia.

Imej satelit

Kini pulau-pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh China itu telah bertukar menjadi pangkalan-pangkalan tentera yang lengkap dengan kemudahan landasan kapal terbang, hangar, pusat komunikasi, elektronik dan lain-lain lagi.

Fiery Cross Reef ini terletak lebih dekat dengan Vietnam berbanding tanah besar China.

Ia turut dituntut oleh Vietnam dan Filipina.

Pulau buatan manusia itu juga penting kerana telah dijadikan “port of calls” oleh kapal-kapal marine survey China yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan marin dan seismik di Laut China Selatan termasuk di perairan berhampiran dengan Malaysia.

Pada 2020, sebuah kapal penyelidikan  China turut menjalankan kerja-kerja penyelidikan di kawasan perairan berhampiran dengan kapal drillship West Capella yang dioperasikan oleh syarikat minyak dan gas nasional, Petronas.

Amerika Syarikat turut mengerah beberapa kapal perangnya ke kawasan perairan itu bagi menangani kehadiran kapal perang dan kapal penyelidik China itu.

 

Fiery Cross Reef

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

ChinaFiery Cross ReefPulau Buatan ManusiaSabahSpratly