Sapura,ASELSAN Kerjasama Dalam Bidang Teknologi Komunikasi dan Kawalan, Pemerintahan (C2)
Sapura dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama penting itu dijangka memacu inovasi teknologi dan kerjasama ekonomi dalam sektor pertahanan dan keselamatan awam.
By
admin on Februari 12, 2025
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sapura Secured Technologies (Sapura) dan syarikat elektronik pertahanan berpangkalan di Turkiye, ASELSAN telah menjalin kerjasama strategik untuk memajukan keupayaan dalam bidang teknologi Komunikasi dan Kawalan & Pemerintahan (Command and Control — C2).
Sapura dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama penting itu dijangka memacu inovasi teknologi dan kerjasama ekonomi dalam sektor pertahanan dan keselamatan awam.
Ia berkata, Pertukaran Nota untuk Kerjasama Strategik dalam Bidang Sistem Komunikasi itu menyokong kerjasama antara Sapura dan Aselsan, dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Profesor Dr Haluk Gorgun, Presiden Agensi Industri Pertahanan Turki (SSB).
“Pertukaran Kerajaan-ke-Kerajaan (G2G) itu disaksikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana pada Selasa.
“Memorandum Perjanjian (MOA) Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) untuk Kerjasama Strategik dalam Sistem Software Defined Radio (SDR) dan Teknologi Kawalan & Pemerintahan telah ditandatangani oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura dan Encik Ahmet Akyol, Ketua Pegawai Eksekutif ASELSAN pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” menurut kenyataan itu lagi.
Sapura berkata, MOA tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi Software Defined Radio, yang merupakan pemacu utama untuk keupayaan C2 moden dalam infrastruktur pertahanan dan keselamatan awam Malaysia.
Melalui inisiatif itu, ia berkata, Sapura dan ASELSAN bertujuan untuk memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia dalam bidang kritikal seperti gelombang SDR, kecerdasan buatan (AI), dan kecerdasan siber.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk melaksanakan teknologi SDR terkini, memastikan sektor pertahanan dan awam Malaysia dilengkapi dengan keupayaan komunikasi dan C2 yang canggih.
“Inisiatif ini termasuk pelaksanaan program pembangunan keupayaan jangka panjang, yang menggabungkan usaha pemindahan teknologi (ToT) yang akan memperkukuh sektor pertahanan dan awam Malaysia,” katanya lagi.
Selain itu, Sapura berkata, pihaknya dan ASELSAN akan mempromosikan dan memperkenalkan penyelesaian inovatif, mengukuhkan kehadiran mereka dalam pasaran pertahanan global.
Dengan lebih 100 tahun gabungan kepakaran, Sapura dan ASELSAN berdedikasi untuk memupuk pertukaran teknologi-ekonomi timbal balik antara Malaysia dan Turkiye yang akan memacu inovasi, meningkatkan keselamatan negara.
Selain itu ia juga mampu meletakkan Malaysia sebagai hab utama untuk teknologi pertahanan dan keselamatan awam yang lebih maju.
Software Defined Radio (SDR) adalah sistem komunikasi radio yang menggunakan perisian untuk mengawal fungsi utama pemprosesan isyarat radio, berbanding dengan radio tradisional yang bergantung sepenuhnya kepada perkakasan (hardware) khusus.
Dalam sektor pertahanan, SDR membolehkan komunikasi antara pasukan tentera menggunakan pelbagai jenis frekuensi dan protokol tanpa memerlukan perubahan perkakasan. Ia juga menyokong frekuensi terpilih dan teknologi anti-gangguan untuk memastikan komunikasi yang lebih selamat dalam situasi peperangan elektronik (Electronic Warfare, EW).
— DEFENCE SECURITY ASIA