Sambutan Terhadap Dua Buah Kapal China di Pulau Pinang di “Luar Norma Kebiasaan”

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sambutan luar biasa oleh kerajaan Pulau Pinang menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sambutan kerajaan Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet Kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) baru-baru ini merupakan sesuatu yang di luar norma kebiasaan, kata bekas timbalan menteri pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Menurutnya, dua kapal besar People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83 itu melaksanakan ‘port-call’ secara bersama, walaupun tiada keperluan logistik berbuat demikian di Pulau Pinang.
“Tiada keperluan logistik untuk mereka melaksanakan ‘port-call’ ini di Pulau Pinang, mengambil kira kesiagaan beberapa pelabuhan PLAN yang dibina secara haram di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang mampu menyokong keperluan logistik atau ‘replenishment’ dua buah kapal ini.
“Sambutan luar biasa dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di pelabuhan awam di Malaysia, apatah lagi aktiviti ‘port call’ oleh Task Group 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan ATM atau TLDM,” katanya dalam kenyataan.
Ikmal berkata meskipun aktiviti ‘port-call’ oleh tentera laut asing di Malaysia adalah amalan biasa, namun aktiviti yang dilakukan oleh Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan itu adalah luar biasa.
“Saya berpandangan kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah rasional sambutan luar biasa yang diberikan kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC tersebut.
“Saya juga sangat musykil akan pemilihan pelabuhan Pulau Pinang oleh Task Group 83 dari RRC ini sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia seperti di Pelabuhan Klang ataupun Pelabuhan Langkawi,” kata Ikmal yang juga ahli parlimen Tanah Merah.
Tambah Ikmal, sambutan luar biasa oleh kerajaan Pulau Pinang menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Ini mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan program sambutan luar biasa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet kapal Tentera Laut RRC sewaktu mereka melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di Jeti Swettenham, George Town, Pulau Pinang.

Dilaporkan Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang menerima kunjungan hormat daripada dua komander kapal berkenaan, selain kelasi dan kadet Tentera Laut RRC turut melawat sekolah swasta Chung Ling High.
Bekas Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang disifatkan ‘tidak masuk akal’ terutama ketika perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak diceroboh oleh aset negara berkenaan.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu berkata kerajaan perlu lebih sensitif dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.
“Mengapa sambut meriah kapal tentera laut China? Adakah Kementerian Luar Negeri dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan? Mengapa mereka diberi sambutan begitu hangat? Mengapa mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu yang dipilih?
“Kerajaan perlu lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat tatkala kita sering dimaklumkan oleh media mengenai pencerobohan aset-aset China di dalam perairan kita berhampiran Sabah dan Sarawak termasuk protes diterima Petronas berkaitan kerja-kerjanya di Kasawari,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil pula berkata tidak timbul soal ancaman kedaulatan negara susulan dua kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang.
Beliau berkata, kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat (AS), China, India dan dari destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, namun semuanya mengikut protokol dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.
“Memang dari semasa ke semasa, kapal perang dari Australia, AS, China malah dari India memang akan berlabuh. Sering kali menuju satu destinasi lain dan akan berlabuh untuk beberapa hari.
 “Dalam waktu mereka (kapal) berlabuh itu biasanya kedutaan atau perwakilan asing bagi negara tersebut akan berhubung untuk melakukan beberapa aktiviti dan niatnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya. — DSA
ChinafeaturedKapal PerangPulau Pinang