Ukraine Guna Sistem Pertahanan Udara “S-200” Untuk Serang Sasaran Darat Russia

Jika benar Ukraine telah mengubahsuai sistem pertahanan udara S-200 itu untuk menjadi peluru berpandu darat-ke-darat, maka ia memberikan keupayaan peluru berpandu balistik kepada negara itu kerana S-200 memiliki jarak sejauh 300km.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan kekurangan peluru berpandu darat-ke-darat, tentera Ukraine dilaporkan telah mengubahsuai sistem pertahanan udara jarak jauh S-200 (SA-5 Gammon) untuk membedil sasaran-sasaran darat Russia pula, namun tahap kejayaannya masih belum diketahui.

Penggunaan peluru berpandu pertahanan udara untuk menyerang sasaran darat dianggap sebagai suatu perkembangan yang baru bagi pihak tentera Ukraine.

Ukraine nampaknya meniru langkah Russia yang turut telah mengubahsuai sistem pertahanan udara S-300 miliknya untuk membedil sasaran—sasaran statik yang besar milik tentera Ukraine, dengan tahap kejayaan serangan itu masih belum diketahui dengan tepat.

Namun, ini merupakan kali pertama dimana sistem pertahanan udara S-200 pernah digunakan sebagai senjata serangan sasaran darat oleh mana-mana pihak, sama ada tentera Russia mahupun tentera Ukraine.

Baru-baru ini, video telah tersebar menunjukkan peluru berpandu sistem S-200 itu telah membedil sasaran darat di Bryansk Oblast di barat Russia yang terletak bersempadan dengan Ukraine.

Jika benar Ukraine telah mengubahsuai sistem pertahanan udara S-200 itu untuk menjadi peluru berpandu darat-ke-darat, maka ia memberikan keupayaan peluru berpandu balistik kepada negara itu kerana S-200 memiliki jarak sejauh 300km.

Diperkenalkan dalam perkhidmatan tentera Kesatuan Soviet, sistem pertahanan udara S-200 itu direkabentuk untuk menembak jatuh pesawat-pesawat pengebom dan pengintip tentera udara Amerika Syarikat yang terbang di altitud tinggi.

Setiap sistem S-200 dibantu oleh radar pemantauan jarak jauh, radar pengesan sasaran dan pelbagai sistem yang lain.

Menurut sumber Russia lagi, sistem pertahanan udara S-200 itu telah digunakan oleh tentera Ukraine untuk menyerang Pangkalan Udara Tentera Russia di Morozovsk.

Terdapat juga laporan mengatakan bahawa tentera Ukraine telah menggunakan peluru berpandu S-200 itu untuk menyerang jambatan Selat Kerch yang menghubungkan Russia dengan Crimea.

Pada ketika ini tidak pasti berapa banyak lagi sistem pertahanan udara S-200 masih dimiliki oleh tentera Ukraine ketika bermulanya pencerobohan tentera Russia, dengan kebanyakkannya menggunakan pelancar static.

Sehingga 2010, tentera Ukraine dipercayai memiliki empat bateri sistem pertahanan udara S-200 yang memberikan perlindungan terhadap kebanyakkan kawasan di Ukraine, manakala adalah juga laporan mengatakan bahawa kesemua sistem itu telah ditamatkan perkhidmatan pada 2013.

Terdapat juga laporan mengatakan bahawa Poland merupakan negara sumber kepada sistem pertahanan udara S-200 yang kini digunakan oleh Ukraine.

Di Timur Tengah, Syria merupakan antara negara yang masih menggunakan sistem pertahanan udara S-200 dengan aktif, dengan pada tahun 2018 sistem itu berjaya menembak jatuh pesawat pejuang F-16 Israel.

Sistem pertahanan udara S-200 Syria juga dikatakan bertanggungjawab menembak jatuh secara tidak sengaja pesawat pengintip Russia IL-20 Coot di kawasan pesisir Syria pada tahun yang sama. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredGammonRussiaS-200Ukraine
Comments (0)
Add Comment