Russia Pertingkat Bilangan Kapal-Kapal Selam Nuklear Kelas-Yasen, Kelas-Borei

Kapal selam nuklear kelas-Yasen adalah kapal-kapal selam yang dilengkapi dengan peluru berpandu kruis dan peluru berpandu hypersonik, manakala kapal selam kelas-Borei pula adalah kelas kapal-kapal selam nuklear yang dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu ballistik nuklear.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Russia berusaha meningkatkan lagi bilangan aset-aset bawah permukaan airnya dengan Tentera Lautnya dilaporkan telah menerima dua lagi buah kapal selam berkuasa nuklear baru-baru ini.

Agensi berita Russia, Sputnik memetik sumbernya melaporkan bahawa baru-baru ini Tentera Laut Russia telah menerima “Alexander III”, sebuah kapal selam nuklear yang juga dikenali sebagai kelas-Project 955A atau Borei-A.

Selain itu, Tentera Laut Russia turut menerima sebuah lagi kapal selam kelas-Yasen/Yasen-M “Krasnoyarsk”, menjadikan ia sebagai kapal selam kelas-Yasen yang keempat berkhidmat dengan tenera laut negara itu.

Kapal selam nuklear kelas-Yasen adalah kapal-kapal selam yang dilengkapi dengan peluru berpandu kruis dan peluru berpandu hypersonik, manakala kapal selam kelas-Borei pula adalah kelas kapal-kapal selam nuklear yang dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu ballistik nuklear.

Sumber itu memaklumkan kepada agensi berita itu bahawa kedua-dua kapal selam berkuasa nuklear itu telah pun berkhidmat dengan Tentera Laut Russia.

Kapal selam kelas-Yasen dengan bendera St-Andrew berkibaran.

 

“Dokumen-dokumen penerimaan dan penyerahan kedua-dua buah kapal selam nuklear itu, Alexander III dan Krasnoyarsk yang dibina di limbungan kapal Sevmash telah pun ditandatangani. Upacara menaikkan bendera kedua-dua buah kapal selam membawa peluru berpandu nuklear akan diadakan selepas 10 Disember depan,” kata sumber itu.

Sumber itu turut memaklumkan kepada Sputnik bahawa kapal-kapal hanya ditakrifkan telah menyertai Tentera Laut Russia selepas bendera St.Andrew berkibaran di kapal-kapal kombat tentera laut negara itu.

“Secara teknikalnya, kapal-kapal selam itu telah diserahkan kepada penggunanya (Tentera Laut Russia,” kata sumber itu.   

Beberapa hari lepas, kapal selam kelima daripada kelas-Yasen M yang dinamakan “Arkhangelsk” turut telah dilancarkan di limbungan kapal Sevmash, menambah  tiga buah kapal selam kelas-Yasen yang sedang berkhidmat dengan Tentera Laut Russia.

Tiga buah kapal selam nuklear kelas-Yasen yang sedang berkhidmat dengan Tentera Laut Russia pada ketika ini adalah Severodvinsk (code 885), Kazan (code 885M), dan Novosibirsk (code 885M) dengan kesemua kapal-kapal selam kebal terbabit dilengkapi dengan peluru berpandu Oniks and Kalibr.

Selain kedua-dua peluru berpandu itu, kapal selam nuklear kelas-Yasen bakal dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon.”

Kapal selam kelas “Severodvinsk” semasa melancarkan peluru berpandu kruis “Kalibr.”

 

Pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menyifatkan kapal selam nuklear kelas-Yasen sebagai kapal selam “paling berkuasa” dimiliki oleh Tentera Laut Russia.

Turut dipanggil kelas-Severodvinsk oleh NATO, kapal selam kelas-Yasen seberat 13,800 tan itu diperakui oleh penganalisis pertahanan antarabangsa sebagai antara kapal selam paling berkemampuan di dunia, membawa puluhan peluru berpandu kruis dan hypersonik dilengkapi dengan kepala peledak nuklear. 

Selain peluru-peluru berpandu kruis dan hypersonik, kapal selam kelas-Yasen juga dilengkapi dengan torpedo.

Dalam satu rancangan dokumentari “60 minutes”, seorang pegawai Jabatan Pertahanan Amerika yang enggan dikenali mendakwa sebuah kapal selam kelas-Yasen yang baru sahaja dilancarkan telah menyelam di Lautan Atlantik.

Untuk beberapa minggu, segala usaha untuk mengesan kapal selam kelas-Yasen itu gagal.

Bagi kapal selam nuklear kelas-Borei yang mempunyai berat mencecah 24,000 tan, ia dilengkapi dengan 16 buah peluru berpandu ballistik nuklear “Bulava”.

Kapal selam kelas-Borei

 

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan salah sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Borei terbarunya, “Imperator Aleksandr III” (K-554) telah berjaya melancarkan peluru berpandu ballistik nuklear lancaran kapal selam (Submarine Launched Ballistic Missile – SLBM) “Bulava”.

Peluru berpandu ballistik “Bulava” setinggi 12 meter dengan kepala peledak nuklear yang dilancar oleh kapal selam terbaru Russia daripada kelas-Borei itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 8,000km.

Setiap sebuah peluru berpandu ballistik “Bulava” itu dilengkapi di antara empat hingga 10 buah kepala peledak nuklear (nuclear warhead). — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BoreifeaturedKapal SelamRussiaYasen
Comments (0)
Add Comment