Kapal Perang Russia Laksana Latihan Cari Kapal Selam “Musuh” Di Laut China Selatan

Menurut Armada Pasifik Tentera Laut Russia, objektif utama pelayaran jarak jauh kapal-kapal perangnya adalah untuk menonjolkan kehadiran Tentera Laut Russia di perairan itu dan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara luar serta mempromosi Tentera Laut Russia di peringkat antarabangsa.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal perang Russia daripada Armada Pasifiknya dilaporkan telah mengadakan latihan anti-udara dan anti-kapal selam di perairan strategik di Laut China Selatan, bukti kerjasama maritim yang semakin erat di antara Moscow dan Beijing.

Agensi berita Russia,TASS melaporkan bahawa kedua-dua kapal destroyer Tentera Laut Russia daripada Armada Pasifik, RFS Admiral Tributs dan RFS Admiral Panteleev telah mengadakan latihan anti-pesawat anti-kapal selam di perairan itu.

“Kedua-dua kapal perang itu telah mengadakan latihan mencari kapal selam musuh di perairan itu. Kapal-kapal perang terbabit turut  belayar di Laut Filipina untuk ke Laut China Selatan,”kata agensi berita itu.

TASS juga berkata bahawa kedua-dua kapal itu kini sedang mengadakan operasi bersama di bahagian utara Laut China Selatan.

Antara operasi maritim yang dilaksanakan oleh kedua-dua kapal itu dalam operasi bersama di Laut China Selatan itu termasuklah memperkemaskan lagi teknik anti-pesawat mereka, simulasi operasi anti-kapal selam dan operasi helikopter maritime Ka-27.

RFS Admiral Panteleev

 

Menurut Armada Pasifik Tentera Laut Russia, objektif utama pelayaran jarak jauh kapal-kapal perangnya adalah untuk menonjolkan kehadiran Tentera Laut Russia di perairan itu dan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara luar serta mempromosi Tentera Laut Russia di peringkat antarabangsa.

Tentera Laut Russia telah melaksanakan pelbagai “misi penting” di Asia Pasifik.

Bagaimanapun, Armada Pasifik Tentera Laut Russia tidak menyatakan tentang tempoh kapal-kapal perangnya akan berada di Laut China Selatan melaksanakan latihan-latihan anti-pesawat dan anti-kapal selam.

Bagaimanapun perairan di Pasifik telah menyaksikan peningkatan kehadiran daripada kapal-kapal perang Russia daripada Armada Pasifiknya yang berpangkalan di Vladivostok yang terletak di timur jauh Russia.

Vladivostok yang menjadi pangkalan utama bagi Armada Pasifik Tentera Laut Russia terletak di jauh daripada utara Jepun.

Peningkatan “kehadiran” kapal-kapal perang Russia di sekitar perairan Lautan Pasifik itu adalah selari dengan kerjasama yang semakin erat di dalam bidang ketenteraan dan diplomatik di antara Russia dan China.

RFS Admiral Tributs

 

Kedua-dua negara memberikan alasan bahawa kehadira kapal-kapal perang mereka adalah untuk “melindungi” SLOC (Sea Lanes Of Communication) yang penting dan bersama-sama memelihara keamanan serta kestabilan di Indo-Pasifik.

Kerjasama di antara tentera laut kedua-dua negara itu semakin “menjadi-jadi” akhir-akhir ini.

Pada Ogos lalu, pemimpin Amerika Syarikat menyifatkan sebagai suatu insiden “bersejarah” dan tidak pernah berlaku sebelum ini apabila armada 11 buah kapal perang Russia dan China dikesan mengadakan latihan perang dan rondaan di Kepulauan Aleutians berhampiran perairan Alaska.

Armada kapal-kapal perang Russia dan China yang dikesan belayar hampir dengan perairan territorial Amerika Syarikat itu termasuklah kapal-kapal destroyer — RFS Admiral Panteleyev (548) dan RFS Admiral Tributs (564), korvet RFS Gremyashchiy (337) dan RFS Hero of the Russian Federation Aldar Tsydenzhapov (339) dan kapal pengisi minyak Pechenga.

Manakala kapal-kapal perang China pula terdiri daripada kapal destroyer – CNS Guiyang (119) dan CNS Qiqihar (121), friget CNS Zaozhuang (542) dan CNS Rizhao (598) dan kapal pengisi minyak CNS Taihu (889).

Kapal-kapal perang Russia dan China

 

Alaska merupakan salah sebuah negeri di Amerika yang terletak di wilayah paling utara di benua Amerika Utara manakala perairannnya bersempadan dengan Selat Bering.

Ia adalah wilayah Amerika Syarikat yang paling hampir dengan wilayah Russia, dengan Pulau Diomede Kecil (milik Amerika) hanya terletak kira-kira 4km daripada Pulau Diomede Besar (milik Russia).  

Pihak Wall Street Journal menyifatkan tindakan kapal-kapal perang Russia dan China berhampiran perairan wilayah Amerika Syarikat sebagai “sangat provokatif”  disebabkan peperangan yang sedang berlaku di Ukraine dan juga sikap agresif tentera China di sekeliling Pulau Taiwan.

Wakil rakyat Alaska daripada parti Republikan, Senator Dan Sullivan berkata kepada stesen televisyen Fox News bahawa apa yang dilakukan oleh kapal-kapal perang Russia dan China di perairan yang sangat hampir dengan perairan wilayah (territorial waters) milik Amerika Syarikat, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya melibatkan skop dan saiz armada tentera laut Russia dan China, yang bekerjasama dengan rapat sekali.”

Sebagai tindakan balas terhadap kehadiran 11 buah kapal perang Russia dan China di perairan Alaska itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah mengerah empat buah kapal destroyer miliknya serta sebuah kapal peronda maritim P-8 “Poseidon” untuk membayangi (shadow) pergerakan kapal-kapal “musuhnya” itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal SelamLaut China SelatanMusuhRussia
Comments (0)
Add Comment