Armada Pasifik Russia Laksana Simulasi Serangan Terhadap Kapal Pengangkut Pesawat “Musuh”

Menurut kementerian negara itu, kapal-kapal dan pesawat pengebom daripada Armada Pasifiknya telah melaksanakan “latihan olok-olok” untuk memusnahkan kapal pengangkut pesawat musuh serta kapal-kapal pengiringnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia hari ini mendedahkan sedikit sebanyak ap yang dilakukan oleh armada kapal-kapal perang serta pesawat pengebom yang sedang melaksanakan latihan besar-besaran di Lautan Pasifik ketika ini.

Menurut kementerian negara itu, kapal-kapal dan pesawat pengebom daripada Armada Pasifiknya telah melaksanakan “latihan olok-olok” untuk memusnahkan kapal pengangkut pesawat musuh serta kapal-kapal pengiringnya.

“Kapal-kapal daripada Armada Pasifik Tentera Laut Russia, kapal cruiser kelas-Slava ‘Varyag’, kapal destroyer kelas-Udaloy ‘Marshal Shaposhnikov’, kapal-kapal korvet kelas-Steregushchiy iaitu ‘Aldar Tsydenzhapov’, ‘Gromky’ dan ‘Sovershenniy’ telah melaksanakan simulasi serangan peluru berpandu kruis.” menurut kenyataan kementerian itu.

Turut sama terlibat dalam latihan atau simulasi serangan itu adalah sebuah kapal selam Tentera Laut Russia yang tidak didedahkan identitinya dan dua buah pesawat pengebom Tu-142MZ dan empat buah pesawat peronda maritime.

Keempat-empat pesawat peronda maritim Russia itu beroperasi daripada Pangkalan Udara Yalizovo di Semenanjung Kamchatka dan diiringi oleh pesawat-pesawat pemintas MiG-31BM Foxhound.

Selain melaksanakan simulasi anti-kapal, mereka turut menguji kesediaan mereka dalam melaksanakan misi-misi anti-pesawat dan anti-kapal selam di kawasan perairan Lautan Pasifik, kata kementerian.

Menurutnya, latihan itu berlaku kira-kira 2,500 batu di selatan Kepulauan Kurile.

Ia adalah sama seperti apa yang diperkatakan oleh media-media Amerika Syarikat bahawa armada kapal-kapal perang Russia itu beroperasi kira-kira 300 batu hingga 500 batu daripada Pulau Hawaii.

Bagaimanapun, imej-imej satelit beberapa hari lepas menunjukkan beberapa buah kapal Russia itu hanya berada kira-kira 35 batu daripada Pulau Hawaii, menyebabkan Amerika Syarikat mengerahkan tiga buah kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dan sebuah kapal pengawal pantai untuk memantaunya.

Selain kapal-kapal perang, Amerika Syarikat turut mengerah pesawat-pesawat pejuang F-22 Raptor untuk memintas pesawat pengebom yang berada terlalu “hampir”dengan ruang udara Hawaii.

Kapal perang Russia.

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Armada PasifikHawaiiLautan PasifikRussiaVaryag
Comments (0)
Add Comment