Rancangan Amerika Mahu “Pencenkan” 19 Buah Kapal Perangnya Tahun Depan Dikritik

Rancangan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk mengurangkan bilangan kapal-kapal perang telah menerima kritikan daripada wakil rakyatnya sendiri yang bimbang akan kemampuan tentera laut negara itu untuk berhadapan dengan Tentera Laut China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Tentera Udara Amerika Syarikat mengumumkan penamatan khidmat 250 pesawat pejuangnya tahun depan atas dasar “penjimatan”,  kini Tentera Laut Amerika Syarikat pula merancang untuk membersarakan 19 buah kapal perangnya pada tahun depan.

Penamatan khidmat 19 buah kapal perang itu termasuk 10 buah kapal yang dianggap “masih baru” lagi.

Seperti biasa pihak berkuasa Amerika Syarikat merancang menggunakan penjimatan yang diperolehi daripada penamatan khidmat kapal-kapal perang itu digunakan untuk membina kapal-kapal perang yang baru untuk Tentera Laut negara itu.

Bagaimanapun rancangan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk mengurangkan bilangan kapal-kapal perang telah menerima kritikan daripada wakil rakyatnya sendiri yang bimbang akan kemampuan tentera laut negara itu untuk berhadapan dengan Tentera Laut China.

Wakil rakyat itu, Joe Courtney (Democrat-Connecticut) dilaporkan berkata rancangan untuk membersarakan sejumlah kapal perang Amerika Syarikat itu disifatkan “tidak masuk akal” dikala Tentera Laut China semakin “membesar”.

Kapal cruiser Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Champlain

 

Pada ketika ini katanya, Tentera Laut Amerika Syarikat hanya mempunyai 291 buah kapal manakala Tentera Laut China pula akan memiliki 440 buah kapal perang menjelang tahun 2030.

“Kita perlu mempunyai keperluan yang segera untuk membesarkan lagi armada kapal selam kita. Ini bukan suatu belanjawan atau perancangan yang baik,” kata beliau tentang cadangan untuk memperuntukkan belanjawan berjumlah US$250 bilion (RM1.12 trillion) kepada Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor Marin Amerika Syarikat.

Antara kapal-kapal perang Amerika Syarikat yang akan dibersarakan tahun depan termasuklah kapal selam nuklear kelas-Los Angeles USS Helena (SSN-725), kapal cruiser USS Philippine Sea (CG-58) dan  USS Normandy (CG-60), kapal Littoral Combat Ship USS Jackson (LCS-6) dan USS Montgomery (LCS-8).

Tentera Laut Amerika Syarikat juga merancang untuk menamatkan khidmat kapal-kapal penyapu periuk api kelas- Avenger iaitu USS Sentry (MCM-3), USS Devastator (MCM-6), USS Gladiator (MCM-11) dan USS Dextrous (MCM-13).

Walaupun begitu, Tentera Laut Amerika Syarikat akan menggunakan belanjawan yang diterimanya untuk tahun depan untuk membina kapal selam peluru berpandu ballistik kelas-Columbia yang kedua dan dua buah lagi kapal pengangkut pesawat kelas-Ford.

USS Helena yang akan dibersarakan.

 

 Minggu lepas, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mengumumkan ia mahu menamatkan perkhidmatan 250 buah pesawat kombatnya pada tahun depan meliputi pesawat-pesawat pejuang utamanya termasuk F-22 “Raptor”, F-15 dan F-16.

Penamatan khidmat 250 buah pesawat kombatnya pada 2025 itu akan membawa bilangan keseluruhan pesawat di dalam Tentera Udara Amerika Syarikat kepada kira-kira 4,900 buah pesawat berbanding lebih daripada 5,000 buah pesawat pada ketika ini.

“Penamatan khidmat 250 buah pesawat kombat milik Tentera Udara Amerika Syarikat itu akan membawa penjimatan kira-kira US$2 bilion(RM9 bilion),”menurut pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat Mej Jen Mike A, Greiner.

Antara pesawat-peswat pejuang Tentera Udara Amerika Syarikat yang akan dibersarakan pada tahun 2025 adalah 22 buah pesawat pejuang F-22 “Raptor”,65 buah F-15 C/D,  56 buah A-10 “Warthog”, 26 buah F-15E,  11 buah F-16 C/D dan 16 buah pesawat tangki KC-135.

Hasil daripada penjimatan itu akan digunakan ke arah usaha-usaha memodenkan lagi Tentera Udara Amerika Syarikat terutamanya membabitkan pesawat-pesawat kombat lain yang lebih canggih untuk digunakan olehnya.

Antaranya perolehan-perolehan baru yang dirancang oleh Tentera Udara Amerika Syarikat 42 buah pesawat pejuang F-35 dan juga 18 buah varian pesawat pejuang F-15EX. — DSA

AmerikaBersarafeaturedKapal Perang
Comments (0)
Add Comment