(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Diplomasi Vaksin” COVID-19 oleh negara-negara kuasa besar dunia sememangnya tengah “full-swing” ketika ini dan rakyat Malaysia menjadi saksi terhadap “permainan” peringkat tertinggi pada ketika ini.
Hari ini, kita menerima penghantaran 1 juta dos vaksin Pfizer BioNtech disumbangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat, yang merupakan sebahagian daripada komitmen Presiden Jo Biden untuk menyumbang 80 juta dos vaksin COVID-19 kepada seluruh dunia.
Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah “diplomasi vaksin” oleh Washington untuk meningkatkan pengaruhnya dikalangan negara-negara yang sedang “berperang” dengan pandemik COVID-19.
Sumbangan 1 juta vaksin oleh Amerika Syarikat hari ini adalah tambahan kepada sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca oleh sekutu kuat Washington di Indo Pasifik iaitu Jepun kepada Malaysia beberapa hari lepas.
Bagaimanapun, pada hari yang sama vaksin Pfizer sumbangan Amerika Syarikat itu tiba di Lapangan Antarabangsa KL (KLIA) hari ini, rakyat Malaysia diberitahu bahawa negara kita akan menerima lagi sumbangan vaksin daripada “abang besar” iaitu China.
Sumbangan 500,000 dos vaksin oleh Beijing itu telah diumumkan oleh Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin hari ini, hanya beberapa jam selepas ketibaan 1 juta dos vaksin Pfizer oleh Washington. Bulan lepas, Menteri Luar umum sumbangan 500,000 vaksin Sinovac, tidak lama selepas pesawat tentera China menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Beijing macam nak “sailang” je usaha perhubungan awam (public-relation exercise) Uncle Sam itu hari ini.
China sudah tentu tidak mahu kalah dengan Amerika Syarikat dan Jepun dalam dalam “pertandingan diplomasi vaksin”.
Sebenarnya disebalik “diplomasi vaksin” sebagaimana yang kita saksikan hari ini, adalah persaingan yang amat hebat sedang berlaku pada ketika di antara Beijing, Washington dan Tokyo untuk mendapatkan pengaruh negara-negara Asia Tenggara terutamanya ketika isu Laut China Selatan sedang hangat diperdebatkan.
Kesemua negara-negara kuasa besar itu sedang berebut-rebut untuk cuba mempengaruhi Kuala Lumpur serta negara-negara penerima sumbangan vaksin yang lain di Indo-Pasifik supaya menyebelahi mereka di dalam isu Laut China Selatan.
Sebenarnya vaksin COVID-19 itu hanyalah “alat diplomatik” yang digunakan oleh negara-negara kuasa besar ini untuk mempengaruhi atau menekan negara-negara tertentu.
Jika kita ambil vaksin yang dibangunkan oleh Russia, semestinya sudah boleh dijangkakan bahawa KLIA akan menerima kehadiran pesawat Aeroflot penuh dengan ratusan ribu atau jutaan dos vaksin Sputnik sumbangan Vladimir Putin tidak lama lagi.