🎬Dassault Sahkan Rundingan Dgn Arab Saudi Tentang Penjualan 54 Buah Rafale

(VIDEO) “Syarikat Dassault telah didatangi Arab Saudi (untuk berunding bagi perolehan pesawat Rafale) selepas Jerman menghalang usaha Riyadh untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon berikutan campurtangannya dalam perang saudara di Yemen,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Dassault Aviation, Eric Trappier.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat pesawat Rafale, Dassault Aviation mengesahkan bahawa ia sedang berunding dengan  Arab Saudi untuk menjual 54 buah pesawat pejuang itu kepada Riyadh selepas Jerman menghalang usaha negara Arab itu untuk membeli Eurofighter Typhoon.

Perkara itu disahkan oleh Eric Trappier, Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan pesawat pejuang itu.

Dipetik sebagai berkata kepada pesatuan wartawan pertahanan di Paris minggu lepas, beliau berkata, walaupun Arab Saudi secara tradisinya membeli pesawat-pesawat pejuang British, namun kini ia mahu membeli pesawat pejuang Perancis.

“Syarikat Dassault telah didatangi Arab Saudi (untuk berunding bagi perolehan pesawat Rafale) selepas Jerman menghalang usaha Riyadh untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon berikutan campurtangannya dalam perang saudara di Yemen,” kata Trappier.

Kenyataan beliau itu mengesahkan laporan akhbar mingguan Perancis, Le Tribune beberapa minggu lepas yang menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasminya telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada Dassault Aviation.

Akhbar itu berkata secara keseluruhannya Arab Saudi mahu membeli sehingga 100 buah pesawat pejuang Rafale itu.

Sekiranya urusan di antara Perancis dengan Arab Saudi itu berjalan lancar, Riyadh bakal menjadi pelanggan terbaru baru pesawat pejuang Rafale di Timur Tengah selepas Mesir, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada ketika ini, Mesir telah pun memperolehi 55 buah pesawat pejuang Rafale, Qatar (36 buah) dan UAE (80 buah).

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh di dalam rundingan ini (di antara Dassault dengan Arab Saudi),” kata ketua pegawai eksekutif syarikat Dassault.

Pada ketika ini, Tentera Udara Arab Saudi mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang seperti F-15 buatan Amerika Syarikat dan juga Eurofighter Typhoon serta Panavia Tornado yang dibuat oleh konsortium syarikat beberapa negara Eropah.

Sejak beberapa tahun lepas, Arab Saudi mahu menambah pegangan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibina oleh Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Eric Trappier

 

Pada 2018, Arab Saudi dan Britain menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi ke-4 itu pada ketika ini.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berdepan rintangan selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Sehingga kini sekatan senjata Jerman terhadap Arab Saudi itu masih berkekaan, yang berkemungkinan telah mendorong Riyadh untuk memulakan rundingan dengan Perancis untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

Baru-baru ini ketika sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO di Lithuania, Canselor Jerman Olaf Scholz menegaskan sekali lagi bahawa ia tidak bercadang untuk melonggarkan sekatan penjualan pesawat pejuang Typhoon kepada Arab Saudi.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon miliki Tentera Udara Arab Saudi.

 

Sebenarnya, Riyadh sudah pun menjangkakan keputusan oleh Jerman itu dan ia telah pun menimbangkan beberapa pesawat pejuang sekiranya usaha untuk mendapatkan pesawat pejuang Typhoon itu tetap tidak berhasil akibat bantahan berterusan daripada Berlin.

Berikutan hubungannya yang semakin mesra dengan China pada ketika ini, terdapat laporan daripada sumber-sumber dalaman pertahanan Arab Saudi yang menyatakan bahawa negara Arab itu sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi pesawat J-10C buatan syarikat Chengdu Aircraft Industry Group.

Potensi penjualan pesawat pejuang J-10C kepada Arab Saudi itu termasuk dalam pakej pembelian beberapa jenis senjata oleh negara Arab itu daripada China seperti dron Sky Saker, dron VTOL CR500 dan sistem pertahanan udara HQ-17.

Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa pembelian pesawat J-10C dan senjata-senjata lain oleh Arab Saudi itu sememang amat berpotensi untuk dilaksanakan berikutan “kemesraan” dalam hubungan diplomatik di antara Riyadh dan Beijing sejak awal tahun ini. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Arab SaudifeaturedPejualanPesawatRafale
Comments (0)
Add Comment