Bimbang Dengan Program FCAS, Perancis Belanja US$5.5 Bln (RM24.75 Bln) Beli 42 Buah Rafale

Wakil-wakil rakyat Perancis dilapor telah melahirkan kebimbangan dengan perjalanan program Future Combat Air Systems (FCAS) oleh Perancis-Jerman yang dirancang akan menggantikan pesawat pejuang Rafale itu, menyebabkan Paris memesan 42 buah Rafale bernilai US$5.5 bilion (RM24.75 bilion).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang terhadap “kelembapan” program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-6 dinamakan, Future Combat Air System (FCAS), Perancis mengesahkan ia akan membelanjakan US$5.5 bilion (RM24.75 bilion) untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale.

Pesawat pejuang Rafale itu dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

Sebelum ini,wakil-wakil rakyat Perancis dilapor telah melahirkan kebimbangan dengan perjalanan program FCAS oleh Perancis-Jerman yang dirancang akan menggantikan pesawat pejuang Rafale itu.

Pesawat pejuang generasi ke-6 itu, FCAS dijangka akan hanya berjaya melakukan penerbangan pertamanya selepas 2045 atau 2050, menurut jawatankuasa pertahanan di Senat Perancis.

Sehingga pesawat pejuang FCAS itu mula beroperasi, Perancis masih memerlukan pesawat pejuang Rafale untuk terus berkhidmat. 

Berikutan daripada “kebimbangan” tentang FCAS itu, agensi perolehan pertahanan Perancis telah memaklumkan kepada syarikat Dassault Aviation dan syarikat-syarikat pembuat komponen lain seperti Safran, Thales dan MBDA tentang pesanan terbaru bagi 42 buah pesawat pejuang Rafale itu.

Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Perancis

 

“Ini adalah berita yang amat baik untuk kedaulatan dan keselamatan negara serta angkatan tentera kerana ia akan memberikan faedah serta memodenkan lagi kemampuan operasi,” menurut Menteri Angkatan Tentera Perancis Sebastien Lecornu dalam satu kenyataan.

Kesemua 42 buah pesawat pejuang Rafale yang baru dipesan oleh Tentera Udara Perancis itu merupakan varian F4 tetapi akan dinaiktaraf kepada varian F5 atau “Super Rafale” dengan beberapa kemampuan generasi ke-6 apabila memasuki tahun-tahun 2030-an.

Pembangunan varian “Super Rafale” itu dijangka bermula tahun ini hinggalah ke 2030, dimana Perancis dan Dassault Aviation berharap varian terkini pesawat pejuang itu dapat “mengalahkan” F-35 buatan Amerika Syarikat.

 Perancis berharap varian terkini pesawat pejuang kebanggaannya itu dapat “menawan kembali” pasaran eksport yang kerap kali ia kecundang terutamanya di tangan pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin.

Syarikat Dassault Aviation sebenarnya tersentak apabila telah berkali-kali kalah dengan F-35 dalam persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang di beberapa negara Eropah termasuk jirannya, walaupun ia juga turut mengecapi kemenangan di Timur Tengah dan Asia seperti di Indonesia.

Tersentak dengan beberapa kekalahan di Eropah telah menyebabkan syarikat Perancis itu untuk berusaha membangunkan varian “Super Rafale” untuk mencabar F-35.

Future Combat Air System (FCAS) oleh Jerman dan Perancis.

   

Varian pesawat “Super Rafale” itu akan direkabentuk supaya ia boleh beroperasi secara berpasangan dengan beberapa dron loyal wingman dipanggil “nEUROn”, yang dikawal sendiri oleh juruterbang-juruterbang varian terkini pesawat pejuang itu.

Walau dikawal oleh juruterbang “Super Rafale” itu,namun “nEUROn” akan tetap mempunyai autonominya sendiri.

“Super Rafale” juga akan direkabentuk bagi membolehkan ia membawa peluru berpandu baru hasil usahasama Perancis dan Britain dipanggil Future Cruise Missile (FCM) dan juga Future Anti-Ship Missile (FASM).

Ia tidak lagi akan menggunakan peluru berpandu kruis SCALP/Storm Shadow  dan AM39 Exocet.

Pesawat pejuang Rafala mula memasuki perkhimatan Tentera Udara Perancis dan Tentera Laut Perancis pada 2004-2006 dan telah dikerah ke Afghanistan, Libya, Mali, Iraq dan Syria.

Pesanan terbaru daripada kerajaan Perancis untuk 42 buah pesawat pejuang Rafale telah menjadikan keseluruhan pesanan terhadap pesawat pejuang itu daripada Tentera Udara Perancis pada masa ini adalah sebanyak 234 buah.

Ini termasuk pesanan untuk 12 buah Rafale pada 2021 bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Perancis yang dipindahkan kepada Greek.

Selain pesanan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis, syarikat Dassault Aviation turut menerima pesanan untuk 261 buah pesawat Rafale untuk beberapa buah negara termasuk Indonesia, India, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). — DSA

 

FCASfeaturedPerancisRafale
Comments (1)
Add Comment