Radar “Anti-Halimunan” China Menanti F-35, F-22 Amerika

Juruterbang pesawat-pesawat pejuang seperti F-22 Raptor dan F-35 Joint Strike Fighter Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya perlu lebih berhati-hati selepas ini, berikutan dakwaan Beijing bahawa ia telah membangunkan sistem radar yang khusus serta berketepatan tinggi dalam mengesan pesawat-pesawat serta dron halimunan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mungkin kerana bimbang dengan peningkatan penerbangan “provokatif” pesawat-pesawat halimunan Amerika Syarikat dan negara sekutunya berhampiran sempadannya,  China dilaporkan telah membangunkan sistem radar “anti halimunan” yang mempunyai kemampuan mengesan kehadiran pesawat-pesawat pejuang dan dron halimunan itu.

Juruterbang pesawat pejuang seperti F-22 Raptor dan F-35 Joint Strike Fighter Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya perlu lebih berhati-hati selepas ini, berikutan dakwaan Beijing bahawa ia telah membangunkan sistem radar yang khusus serta berketepatan tinggi dalam mengesan pesawat-pesawat serta dron halimunan.

Dibangunkan oleh China Electronics Technology Group Corporation (CETC), radar “anti-halimunan”  itu dinamakan “YLC-8E” dan ia menggunakan teknologi elektro-magnetik untuk mengesan kedudukan pesawat-pesawat atau dron walaupun “tuan punya diri” merasakan ia beroperasi di dalam mode halimunan.

Radar anti-halimunan “”YLC-8E” buatan China

 

CETC memanggil “YLC-8E” sebagai radar perisikan generasi ke-4 dan mendakwa tahap pengesanan pesawat-pesawat halimunan oleh radar itu mencapai sehingga 95 peratus.

 Dikatakan radar anti halimunan yang dibangunkan oleh syarikat berteknologi tinggi milik kerajaan China ini mempunyai keupayaan untuk mengesan pesawat atau dron kombat, halimunan atau tidak pada jarak 500km manakala peluru berpandu pula adalah pada jarak 700km.

Beberapa bulan lepas, seorang pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat mengakui bahawa pesawat pejuang halimunannya, F-35 pernah bertembung sekurang-kurangnya sekali dengan pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” di Laut Timur China.

Ia menandakan pertembungan buat pertama kali di antara kedua-dua pesawat pejuang generasi kelima daripada negara seteru dan ia menunjukkan Amerika Syarikat serta sekutunya mengerahkan pesawat-pesawat halimunan ke kawasan perairan berhampiran sempadan maritim China. 

Pengakuan tentang pertembungan di antara dua buah pesawat termoden dan halimunan kedua-dua negara itu dibuat oleh Komander US Pacific Forces, US Air Force Jeneral Kenneth Wilscbach dalam satu perbincangan di Mitchell Institute for Aerospace Studies.

Pesawat F-35A

 

Penganalisis tentera China mengatakan radar YLC-8E yang dibangunkan oleh CETC merupakan radar anti halimunan pertama di dunia menggunakan sistem UHF (Ultra High Frequency) dan dipromosikan sebagai antara radar ulung yang berkemampuan untuk mengesan pesawat-pesawat halimunan seperti F-22 dan F-35.

Media nasionalis China, “Global Times” yang dimiliki oleh Parti Komunis China mendakwa radar anti-halimunan “YLC-8E” terbabit boleh mengesan pesawat halimunan seperti F-22 dan F-35 serta pesawat-pesawat lain daripada jarak jauh dengan ketepatan yang tinggi.

Selain mengesan pesawat-pesawat halimunan, radar YLC-8E juga boleh bertindak sebagai radar amaran awal serta radar pengesan tembakan artilleri, menjadikan radar “anti-halimunan” buatan China ini sebagai radar serba-boleh, berkemampuan mengesan pelbagai sasaran.

Dengan hanya satu radar, ia boleh melaksanakan pelbagai fungsi, sebagaimana didakwa oleh pihak tentera China.

Pengumuman China bahawa ia telah berjaya membangunkan radar “anti-halimunan” berlaku ketika negara-negara di dunia sedang berlumba-lumba untuk memperolehi pesawat dan dron halimunan dalam usaha masing-masing untuk meningkatkan keupayaan tentera mereka.

Pesawat Halimunan F-22 Raptor.

 

Beijing mula membangunkan radar anti-halimunan itu pada awal tahun 2020.

Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan antarabangsa, ujian sebenar sama ada radar anti-halimunan milik China itu benar-benar berfungsi dalam mengesan pesawat-pesawat atau dron halimunan adalah untuk mengerah dan menggunakannyadalam konflik di mana pesawat-pesawat halimunan terlibat.

Pada ketika ini belum ada konflik yang melibatkan pertentangan di antara radar halimunan dengan pesawat halimunan.

Pesawat pejuang generasi kelima, J-20 “Mighty Dragon” milik China

 

 

Pesawat-pesawat F-35  milik Amerika Syarikat dan Israel yang terlibat dalam misi-misi kombat di Syria hanya diuji dengan radar-radar konvensional buatan Russia.

Setakat ini, apa yang diperkatakan oleh firma China tentang kemampuan anti-halimunan sistem radar dibangunkan mereka itu hanyalah sekadar dakwaan yang belum dapat dibuktikan, selagi ia tidak dikerah ke medan peperangan dan berhadapan dengan pesawat-pesawat halimunan yang sebenar. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinaF-22F-35featuredHalimunanRadar Anti-Halimunan