Proses Perolehan F/A-18C/D Milik Kuwait Dijangka Dimuktamad Tahun Ini – Malaysia
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Adly Zahari berkata, proses perolehan pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik Kuwait itu kini berada di peringkat akhir termasuk dokumentasi membabitkan pihak pembuat pesawat pejuang itu, Amerika Syarikat dan penggunanya Tentera Udara Kuwait.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha Kementerian Pertahanan Malaysia untuk memperolehi pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan dimuktamadkan tahun ini, menurut laporan oleh agensi berita nasional Bernama.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, proses perolehan pesawat-pesawat pejuang terpakai itu kini di peringkat akhir termasuk dokumentasi membabitkan pihak pembuat pesawat pejuang itu, Amerika Syarikat dan penggunanya Tentera Udara Kuwait.
“Setakat ini perolehan 30 pesawat berkenaan di peringkat akhir perbincangan selepas KAF memberi lampu hijau, selepas kedua-dua pihak bersetuju pada dasarnya dengan hasrat kita ingin mendapatkan segera peawat tersebut,” katanya.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan itu lagi, negara berhadapan dengan cabaran melibatkan faktor masa dan salah satu pilihan untuk mengatasi masalah itu adalah dengan memperolehi aset terpakai selepas ia dinilai oleh penggunanya iaitu TUDM.
“Berdasarkan penilaian mereka memang ada keperluan dan pesawat terbabit masih mempunyai keupayaan, malah dalam jangka masa panjang boleh memberi sesuatu yang baik dalam menjaga pertahanan dan kedaulatan negara,” katanya.
Pada Oktober tahun lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah melawat Kuwait untuk melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik negara Arab Teluk itu.
(Kredit FB Mohamed Khaled)
Beliau dan delegasi Malaysia melawat ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber, yang antara lain menempatkan Skuadron 9, skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Turut bersama dalam kunjungan Mohamed Khaled ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Menteri Pertahanan Malaysia itu telah diberikan taklimat mengenai status, keupayaan dan pengoperasian pesawat tempur F/A-18C/D Kuwait, termasuk oleh pasukan juruterbang Tentera Udara Kuwait sendiri, selain turut diberi peluang untuk melihat sendiri kondisi serta keadaan sebahagian aset strategik berkenaan.
Pada Jun tahun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan Kuwait sebelum ini telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF tersebut.
F/A-18C Hornet milik Tentera Udara Kuwait
Terdahulu dalam Menteri Pertahanan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya, Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion)