PETRONAS Catat Untung Bersih RM101.6 Bilion, Terbesar Dalam Sejarah

Pencapaian memberangsangkan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS itu dicapai berikutan kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah sebanyak RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Dalam tempoh dikaji, PETRONAS turut mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM375.3 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata pencapaian memberangsangkan itu dicapai berikutan kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Dipetik sebagai berkata oleh BH Online, beliau berkata, prestasi kewangan itu juga disokong oleh strategi pertumbuhan tiga serampang serta pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin modal yang teguh dengan melabur secara bertanggungjawab.

Dalam persekitaran yang tidak menentu, PETRONAS menurut beliau terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang tegas dalam melabur semula untuk menyediakan keselamatan tenaga yang diperlukan pada hari ini serta untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab.

“Ketika tahun 2022 membolehkan kami memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

“Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, PETRONAS akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 di sini, hari ini.

Dalam tahun kewangan dikaji, Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) PETRONAS meningkat kepada RM135.3 bilion, manakala jumlah asetnya kukuh kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM24.4 bilion dan pendapatan RM105.9 bilion, disumbangkan terutamanya oleh kesan harga yang menggalakkan untuk semua produk dan jumlah jualan yang meningkat.

Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, PETRONAS akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisiplin termasuk pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredPetronasSejarahTerbesarUntung