Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

K’jaan Siasat Mungkin Wujudnya “Tali Barut” Dalam Isu Tuntutan Sulu

Jika itu kewujudan "tali barut" itu terbukti benar – ia tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh kenakan hukuman gantung jika disabitkan bersalah.

0 1,649

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan sedang melakukan siasatan terhadap kemungkinan wujudnya “tali barut” dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu kumpulan mendakwa mereka sebagai waris Sultan Sulu berhubung tuntutan pampasan bernilai RM62 bilion, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Jelasnya,jika itu terbukti benar – ia tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh kenakan hukuman gantung jika disabitkan bersalah.

“Sekarang ini, kita hendak siasat sebenarnya (siapa) yang terbabit, mungkin ada ‘inside game’… kebocoran (maklumat) atau tindakan yang memberi kekuatan yang agak begitu pelik kepada kumpulan berkenaan.

“Saya sedang siasat dan perkara ini sememangnya dalam proses siasatan kita, yang mana kita hendak tahu apa sebenarnya menjadi punca tuntutan mereka ini.

“Jika mereka mahu membuat tuntutan sepatutnya sudah lama, sejak bayaran pampasan dihentikan pada 2013. Kenapa baru sekarang, secara tiba-tiba mereka kemukakan tuntutan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

sulu
Kumpulan bersenjata Sulu

 

Pada masa sama Azalina menambah terdapat percanggahan input, maklumat, pandangan, dan kedudukan dalam mengendalikan isu tuntutan Sulu tersebut.

Katanya lagi ada pegawai kanan kerajaan yang membuat keputusan tanpa kebenaran kabinet walaupun ia membabitkan hal ehwal kedaulatan Negara.

“Perkara sebegini wajar dibawa kepada pertimbangan jemaah menteri.

“Saya percaya prinsip tanggungjawab bersama dan tanggunjawab kabinet kepada parlimen melalui Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu wawancara bersama media.

Pada 9 Mac lalu kerajaan mengumumkan Azalina akan menjadi wakil kerajaan ke Eropah – termasuk ke Perancis – bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu ke atas beberapa aset milik Malaysia.

Menteri Luar Zambry Abd Kadir berkata dia juga mungkin turut terbabit dalam pengendalian kes itu bersama Azalina dalam masa terdekat.

Zambry berkata tindakan tersebut merupakan antara langkah ke hadapan diambil Putrajaya ekoran ada pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu mahu mengambil kesempatan menggunakan kepakaran mereka dalam melaksanakan tuntutan.

Sulu
Pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu terhadap Lahad Datu pada 2013.

 

Mengulas lanjut, Azalina berkata dia melihat tindakan kumpulan terbabit sebagai satu ugutan untuk membolehkan mereka mendapatkan kembali bayaran dari kerajaan.

Katanya, kerajaan tidak akan tunduk kepada permainan kumpulan berkenaan dan akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli.

” (Tuntutan itu) dia bagi kita kelam kabut. (Mengikut) Bacaan saya dia nak kita bagi duit untuk bagi selesai (tuntutan), tapi kita nak lawan.

“Orang Sabah saja tahu tentang mereka. Saya sudah pergi Sabah jemput wakil kerajaan mereka, kita akan lawan, dan saya tak akan benarkan sesiapa menggugat kedaulatan negara.

“Saya tak akan benarkan orang guna taktik kotor untuk dapatkan duit,” katanya lagi. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...