Pesawat Hawk TUDM Terhempas Di Butterworth, Seorang Terkorban

TUDM dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk pada jam 10.07 malam di kawasan landasan pangkalan berkenaan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban manakala seorang lagi cedera apabila sebuah pesawat pejuang ringan jenis Hawk buatan syarikat British Aerospace (BAE) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini, malam ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengesahkan insiden itu berkata TUDM telah diarahkan memberikan laporan lebih terperinci dengan segera selain menyiasat punca kejadian jam 10.07 malam itu.

“Baru terima panggilan daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera.

Keadaan di Pangkalan Udara Butterworth.

 

“Kementerian Pertahanan telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya dalam akaun Twitternya malam ini.

Terdahulu, sebuah pesawat Hawk TUDM dilapor dikhuatiri terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth malam ini.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk pada jam 10.07 malam di kawasan landasan pangkalan berkenaan.

Malaysia menggunakan kombinasi pesawat Hawk 108 (dua tempat duduk)  dan pesawat 208 (satu tempat duduk) untuk tujuan FLIT/LCA.

Pesawat Hawk 108

DEFENCE SECURITY ASIA

ButterworthHawkTerhempasTUDM