Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Saya Pergi Ke China Bukan Untuk “Terima Arahan” — Hishammuddin

Hishammuddin berkata adalah tidak menjadi kesalahan bagi Malaysia untuk mendapatkan pandangan daripada sebuah kuasa besar dan kemungkinan tindak balas China berhubung pakatan strategik itu.

0 1,173

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tindakannya pergi ke China sekadar untuk mendapatkan pandangan tentang pembentukan pakatan strategik keselamatan melibatkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS dan bukan untuk “menerima arahan” daripada pentadbiran di Beijing.

Menurutnya, adalah tidak menjadi kesalahan bagi Malaysia untuk mendapatkan pandangan daripada sebuah kuasa besar dan kemungkinan tindak balas China berhubung pakatan strategik itu.

“Saya tengok bahawa kenyataan itu (dakwaan pembangkang) tidak berasas kerana apa yang telah saya maklumkan kepada Dewan Rakyat jauh sekali untuk mendapat arahan daripada negara China,” kata beliau di Johor.

Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan pembangkang baru-baru ini yang mahu Malaysia dilihat sebagai berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar terutama berhubung isu AUKUS.

AUKUS

Ahli Parlimen Sembrong itu menjelaskan hubungan Malaysia dengan negara berkenaan tidak bermakna negara akan berkompromi dari segi kedaulatan dan kedudukannya.

“Kelebihan kita baik dengan dua pihak kalau ada pihak nak melaga-lagakan kita… kita konsisten dari dulu lagi.

“Kekuatan yang ada kepada Malaysia (adalah) kita mendekati kedua-dua kuasa besar ini dan hubungan kita (berdasarkan) saling menghormati antara AS dan China dan menghormati pendirian kita,” kata beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melahirkan kegusaran Malaysia terhadap pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, AUKUS bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik dan pada masa sama, memprovokasi kuasa lain bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Kenyataan itu menyebut, semua pihak perlu mengelak provokasi dan persaingan senjata di rantau ini, dan menyedari kepentingan menghormati serta mematuhi pendirian serta sekatan sedia ada.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...