“Pertempuran Udara Terbesar Dalam Sejarah” Libat 125 Pesawat Pejuang India dan Pakistan -CNN
Stesen televisyen terkenal Amerika Syarikat, CNN menyatakan pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu berlaku walaupun pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan berada di dalam ruang udara masing-masing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan dua hari lepas disifatkan sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.
Stesen televisyen terkenal Amerika Syarikat, CNN menyatakan pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu berlaku walaupun pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan berada di dalam ruang udara masing-masing.
“Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara bertempur di ruang udara pada jarak 160km, dengan pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara terhadap masing-masing,” menurut sumber keselamatan Pakistan yang dipetik oleh CNN.
Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara itu bertempur di dalam keadaan Beyond Visual Range (BVR), dengan bergantung kepada radar AESA masing-masing dan peluru berpandu udara-ke-udara masing –masing.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan telah berhadapan dengan sekurang-kurangnya di antara 75 hingga 80 buah pesawat pejuang India pada pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu.
“Dan kami telah berjaya menembak jatuh lima daripada pesawat-pesawat pejuang India itu,” kata beliau.
Jurucakap tentera Pakistan Lt Jen Ahmed Sharif pula berkata – “ Anda (India) datang dua malam lalu pada masa yang dipilih oleh anda dengan perlindungan penuh sistem pertahanan udara, tetapi tetap kehilangan lima buah pesawat pejuang.”

“Jika anda amat berkesan, pesawat-pesawat pejuang itu (lima buah termasuk Rafale) tidak akan jatuh,” kata beliau.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, di dalam pertempuran udara ini India didakwa telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale buatan Dassault Aviation, sebuah Sukhoi Su-30MKI dan Mirage 2000.
Rafale yang diperolehi oleh India pada 2016 merupakan pesawat pejuang termoden Tentera Udara India.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Hari ini dakwaan oleh Menteri Luar Pakistan bahawa pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India itu turut disokong oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat.
“Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah pesawat pejuang Tentera Udara India,” menurut pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kepada agensi berita antarabangsa Reuters.

Kelima-lima pesawat pejuang India itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh 145km.
Laporan yang tidak dapat disahkan menyatakan bahawa Tentera Udara Pakistan bukan sahaja dilengkapi dengan varian PL-15E, tetapi ia juga telah diberikan peluru berpandu PL-15 varian tempatan sebagaimana digunakan oleh Tentera Udara China yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh 300km.
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Sementara itu wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Ia merupakan pesawat pejuang Rafale pertama yang ditembak jatuh dalam mana-mana konflik di seluruh dunia setakat ini, kata pegawai berkenaan.

Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Dan hari ini, CNN dalam laporannya menyatakan bahawa pegawai Amerika Syarikat dalam penilaian mereka mengesahkan bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik India semasa serangan udara yang dilancarkan India ke atas wilayah Pakistan.
Stesen televisyen itu menyatakan bahawa pegawai kanan Amerika itu mempunyai akses kepada laporan penilaian terkini.
Namun begitu, Amerika Syarikat masih belum mengesahkan jenis sistem persenjataan yang digunakan oleh pasukan Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai dakwaan dan bukti-bukti tentang penembakan jatuh pesawat pejuangnya termasuk Rafale, India sehingga ini masih menafikan dakwaan kehilangan lima buah pesawat pejuang miliknya itu, termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale.
Ketika ditanya dakwaaan lima buah pesawat pejuangnya di tembak jatuh oleh Pakistan, Setiausaha Luar India Vikram Misri enggan menjawabnya dengan hanya berkata – “Lihat, apabila tiba masa yang sesuai, maklumat rasmi berkenaan perkara itu akan diberikan.”

Media-media sosial telah mengeluarkan gambar-gambar yang secara tidak langsung mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah daripada pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India itu telah ditembak jatuh.
Serpihan salah sebuah daripada pesawat pejuang Rafale India dengan nombor siri BS-001 telah ditemui di satu lokasi itu di Aklian Kalan di Bathinda sekaligus mengesahkan dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh pesawat pejuang termoden India itu.
Tentera Udara Pakistan telah menerima pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
Enam unit pertama pesawat ini tiba di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, Pakistan, dan secara rasmi ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan (PAF) pada 11 Mac 2022.
Pesawat-pesawat ini membentuk skuadron No. 15 “Cobras”
Perolehan J-10C ini merupakan sebahagian daripada usaha Pakistan untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, khususnya sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat Rafale oleh India.

J-10C adalah pesawat pejuang generasi 4.5 yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik canggih, dan keupayaan untuk membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti PL-15.
Pakistan pada asalnya mengumumkan pembelian 25 pesawat J-10C pada Disember 2021, dengan penghantaran pertama dijadualkan sebelum sambutan Hari Republik Pakistan pada 23 Mac 2022.
Sejak itu, Pakistan telah menerima lebih banyak pesawat J-10C dan dilaporkan sedang dalam rundingan untuk memperoleh sehingga 60 unit keseluruhannya, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Tentera Udara Pakistan (Pakistan Air Force, PAF) merupakan antara cabang utama dalam angkatan tentera negara itu, yang memainkan peranan kritikal dalam menjaga kedaulatan ruang udara Pakistan, terutama dalam menghadapi ketegangan berterusan dengan India.
PAF kini memiliki lebih 900 pesawat pelbagai jenis, termasuk pesawat tempur, pesawat latihan, serta pesawat sokongan dan rondaan, menjadikannya antara angkatan udara yang paling bersaing di rantau Asia Selatan.
