Perolehan F/A-18C/D Terpakai Milik Kuwait Hanya “Stop Gap” – Panglima ATM

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata bahawa perolehan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Kuwait itu adalah selaras dengan realiti kedudukan kewangan dan keperluan operasi negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) hanyalah “langkah sementara” (stop gap), sehingga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperolehi pesawat-pesawat pejuang yang baru.
Bercakap dalam temuramah dengan akhbar berbahasa Inggeris tempatan New Straits Times, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata mereka mempunyai perancangan untuk memperolehi pesawat pejuang baru pada masa depan.
“Pesawat-pesawat pejuang ini (F/A-18C/D milik Kuwait) mempunyai jangka hayat 10 tahun, memberikan kita masa yang cukup untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang yang lebih baik.”
“Itu adalah sebab mengapa kita memilih Hornet daripada Kuwait,” kata beliau.
Beliau juga berkata bahawa perolehan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Kuwait itu adalah selaras dengan realiti kedudukan kewangan dan keperluan operasi negara.
Pesawat pejuang F/A-18 Hornet Kuwait
“Perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Kuwait itu menyokong perancangan pemodenan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Jika kita melihat terhadap aset-aset sedia ada, sebahagiannya akan ditamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi.”
“Melihat kepada kapasiti kewangan (kita), kita menimbangkan kemampuan kita terhadap pesawat-pesawat pejuang terpakai daripada Kuwait,” kata Mohammad.
Panglima ATM itu juga berkata ciri-ciri dan spesifikasi pesawat pejuang F/A-18C/D Kuwait itu juga adalah sama dengan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM pada ketika ini.
“Kita sudah mempunyai pengalaman mengoperasikan dan menyelenggara pesawat pejuang ini. Kita mempunyai infrastruktur dan kakitangan berpengetahuan yang diperlukan untuk menyelenggaranya.”
“Kita juga mempunyai inventori alat-alat ganti, membolehkan proses ini kos effektif dan memudahkan. Daripada segi penyelenggaraan dan operasi, ianya lebih ekonomi,” kata beliau.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sedang dalam rangka lawatan ke Kuwait pada awal bulan ini telah meninjau sendiri keadaan terkini pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang Malaysia cuba perolehi.
Beliau dan delegasi Malaysia telah melawat ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber, yang antara lain menempatkan Skuadron 9, skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Turut bersama dalam kunjungan Mohamed Khaled ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mohamed Khaled juga berkata, kerajaan Kuwait telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik negara Timur Tengah itu.
Kerajaan Malaysia dan Kuwait juga telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
 Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber, yang antara lain menempatkan Skuadron 9, skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait. (kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion).
(Kredit FB Mohamed Khaled)
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada. — DSA

 
featuredHornetKuwaitPesawat