“Perang Cip” Tercetus Di Antara Amerika Syarikat Dan China

Amerika Syarikat mendakwa cip-cip yang dihasilkan oleh kilang-kilang semikonduktor di China digunakan untuk mempertingkatkan lagi kemampuan angkatan tenteranya serta mencabar kedudukan Amerika dalam penguasaan teknologi tinggi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah melancarkan sekatan eksport teknologi pembuatan cip paling ketat terhadap China bertujuan merencat industri pembuatan cip di negara Asia itu yang banyak digunakan oleh sektor ketenteraannya serta memastikan Washington terus berada di hadapan seterunya dalam bidang-bidang teknologi tinggi yang lain.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat mengumumkan peraturan-peraturan baru bagi memastikan China tidak memperolehi peralatan membuat cip atau komponen-komponen untuk supercomputer.

Sekatan-sekatan eksport itu dilihat akan meningkatkan lagi ketegangan di antara Washington dan Beijing melibatkan pelbagai bidang termasuk industri berteknologi tinggi.

Amerika Syarikat mendakwa cip-cip yang dihasilkan oleh kilang-kilang semikonduktor di China itu digunakan untuk mempertingkatkan kemampuan angkatan tenteranya serta mencabar kedudukan Amerika dalam penguasaan teknologi tinggi.

Antara peraturan baru yang dikenakan oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat itu adalah menghendaki syarikat negara itu untuk memiliki lesen terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan mengeksport cip berkemampuan tinggi yang selalunya digunakan untuk aplikasi Artificial Intelligence (AI) dan Supercomputer ke China.

Peraturan lain adalah — Cip-cip untuk AI dan supercomputer yang diperbuat di negara lain tetapi menggunakan peralatan serta software Amerika dalam proses rekabentuk dan pembuatan juga dimestikan memiliki lesen sebelum dibenarkan dieksport ke China.

Rakyat Amerika juga memerlukan kebenaran khas untuk bekerja dengan syarikat-syarikat pembuat cip di China.

Syarikat-syarikat Amerika Syarikat dilarang mengeksport mesin-mesin ke China yang digunakan untuk membuat cip tertentu seperti bersaiz 16 nanometer (nm), 14 nm atau saiz yang lebih kecil.

Cip amat penting untuk industri pertahanan China.

 

Semakin kecil saiz cip itu, ia semakin berkuasa tinggi.

Pada ketika ini, syarikat pembuat cip paling canggih China iaitu Semiconductor Manufacturing International Co (SMIC) berkemampuan membuat cip bersaiz 7nm tetapi di dalam skala yang besar.

Bagaimanapun, SMIC dianggap ketinggalan jauh daripada syarikat-syarikat pembuat cip lain seperti Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan Samsung yang bakal membuat cip bersaiz 2nm.

 Cip dan semikonduktor adalah di antara produk berteknologi tinggi yang paling penting dalam pembuatan sesuatu barangan pada ketika ini, daripada telefon pintar, kereta kepada peti sejuk.

Ia juga memiliki aplikasi yang amat penting untuk sektor ketenteraan dan AI.

Radar “Anti-Halimunan” YLC-8E dibangunkan oleh China Electronics Technology Group Corporation (CETC),

 

Sudah pasti beberapa sektor di China bakal terjejas dengan teruk hasil daripada tindakan yang diambil oleh Amerika Syarikat itu seperti AI, Quantum Computing dan Semikonduktor yang Beijing nyatakan sebelum ini bahawa ia mahu kembangkan penguasaannya di dalam bidang-bidang terbabit.

Peraturan dan kawalan eksport yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden itu sudah pasti akan menyukarkan lagi usaha China di dalam industri pembuatan cip dan AI.

Beberapa tahun lepas ketika Amerika Syarikat di perintah oleh Donald Trump, ia turut mengambil tindakan yang sama terhadap syarikat Huawei di mana syarikat itu tidak dibenarkan memperolehi cip-cip berteknologi tinggi untuk pembuatan telefon pintar daripada syarikat pembuat cip, TSMC.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Huawei yang pada ketika itu merupakan syarikat pembuat telefon pintar nombor satu dunia, menerima kesan buruk daripada sekatan oleh Amerika Syarikat.

Perniagaan telefon pintar Huawei merudum dalam sekelip mata dan kedudukannya sebagai syarikat pembuat telefon pintar nombor satu dunia juga “hilang.” — DSA 

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
AmerikaChinafeaturedPerang Cip
Comments (0)
Add Comment