Penyelenggaraan Su-30MKM, F/A-18C/D Hornet Jadi Tumpuan Lawatan Ketua Setiausaha MINDEF
Pangkalan Udara Gong Kedak merupakan “rumah” kepada pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM manakala Pangkalan Udara Butterworth pula menempatkan skuadron yang mengoperasi lapan buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali telah melakukan lawatan kerja ke dua buah pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Udara Gong Kedak dan juga Pangkalan Udara Butterworth.
Pangkalan Udara Gong Kedak merupakan “rumah” kepada pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM manakala Pangkalan Udara Butterworth pula menempatkan skuadron yang mengoperasi lapan buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet.
TUDM mengoperasikan 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM.
Menurut kenyataan media menerusi akaun FB TUDM, lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan adalah untuk meninjau tahap kesiapsiagaan dan kemajuan penyelenggaraan pesawat-pesawat pejuang TUDM yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pertahanan tempatan.
“Ia melibatkan pesawat Su-30MKM yang dilaksanakan oleh ATSC Sukhoi Technical Centre (STC) di Pangkalan Udara Gong Kedak dan F/A-18D Hornet oleh G7 Global Aerospace Sdn. Bhd. di Pangkalan Udara Butterworth.”
Lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan itu mencerminkan keprihatinan berterusan pucuk pimpinan Kementerian dalam memastikan aset-aset strategik negara berada dalam keadaan terbaik, selari dengan visi jangka panjang pertahanan negara yang berdaya saing dan mampan, menurut TUDM.
“Selain itu, ia juga menunjukkan komitmen Kementerian Pertahanan terhadap keperluan peningkatan kemampuan pertahanan negara melalui kerjasama dengan syarikat pertahanan tempatan yang bukan sahaja meningkatkan kapasiti penyelenggaraan pesawat-pesawat tempur tetapi juga menyokong perkembangan industri pertahanan negara ke tahap yang lebih tinggi.”
Malaysia menandatangani kontrak pembelian F/A-18D Hornet pada 2 Disember 1993 dan menerima kesemua lapan unit F/A-18D Hornet antara tahun 1997 hingga 1998.
Mengenai pesawat pejuang Su-30MKM, kontrak pembelian 18 pesawat pejuang itu ditandatangani pada 5 Ogos 2003 semasa Pameran LIMA (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition).
Penghantaran pertama Sukhoi Su-30MKM dibuat pada 2007, dan kesemua pesawat diterima menjelang 2009.
Menurut laman web syarikat G7 Global Aerospace, ia menyatakan bahawa syarikat terbabit merupakan rakan teknologi kepada TUDM kerana ia memahami bahawa keselamatan adalah keutamaan.
“Sebagai rakan teknologi yang berorientasikan masa depan kepada TUDM, pengurusan kitaran hayat, operasi, dan ketersediaan sistem ketenteraan untuk darat dan udara menjadi keutamaan kami.”
Ia menggariskan beberapa jenis perkhidmatan ditawarkannya termasuk – Penyelenggaraan Pesawat, Program Sokongan Peperangan Elektronik (EW) dan Perkhidmatan Tambahan.
Ia juga menyatakan bahawa G7 Global Aerospace sedang dalam perancangan untuk menjalankan pemeriksaan struktur pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik TUDM.
Tugas ini, yang diberi nama LPM12Y, merupakan selang penyelenggaraan berkala struktur selepas 12 tahun perkhidmatan, dan oleh itu dinamakan sebagai “Local Periodic Maintenance 12 Years” atau LPM12Y.
LPM-12Y merupakan program senggaraan peringkat Depot Level Maintenance (DLM) bagi pesawat F/A-18D yang telah dijalankan di dalam negara sejak tahun 2021.
Sementara itu, ATSC Sdn Bhd (Aerospace Technology Systems Corp. Sdn Bhd) telah ditubuhkan pada 25 Jun 1994 dan merupakan anak syarikat kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI).
Ia bertanggungjawab menyelenggara pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM.
Pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM TUDM menjalani program SLEP di bawah RMK-12 (2021–2025) dengan fokus melaksanakan penyelenggaraan struktur dan sistem utama pesawat untuk memastikan pesawat dapat terus beroperasi dengan selamat dan cekap.
Ia juga melibatkan kerja-kerja penggantian komponen yang telah melebihi jangka hayat serta pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pesawat untuk mengekalkan prestasi dan keselamatan operasi.
Bagi tempoh RMK-13 bermula 2026, kerja-kerja SLEP akan melihat ia melaksanakan program Mid-Life Upgrade (MLU) dengan matlamat meningkatkan teknologi, avionik, sistem radar, dan persenjataan pesawat.
Ia adalah untuk memastikan pesawat terus relevan dan mampu memenuhi keperluan operasi serta cabaran peperangan moden. — DSA