Pembinaan 40 Buah Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae” Untuk ROKAF Bermula Tahun Ini

Syarikat yang membangunkan pesawat itu, Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 40 buah pesawat KF-21 “Boramae” itu untuk Tentera Udara Korea Selatan yang menjangkakan akan memiliki sehingga 120 buah pesawat canggih itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun masih menjalani pelbagai ujian dan kini diselubungi pula dengan dakwaan kecurian teknologi oleh jurutera Indonesia yang terlibat dalam program pembangunannya, namun pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) pada tahun ini.

Syarikat yang membangunkan pesawat itu, Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 40 buah pesawat KF-21 “Boramae” itu.

Sekurang-kurangnya KAI akan mengambil masa selama tiga tahun sebelum pesawat pejuang KF-21 “Boramae” pertama dibinanya dapat diserahkan kepada pelanggan pertamanya iaitu Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).

“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu.

Menurut KAI, fasa kejuruteraan dan pembinaan pesawat pejuang  KF-21 itu akan akan selesai pada 2026.

KF-21

 

Media negara itu, Korea Times menjangkakan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang pertama dijangka akan dioperasikan oleh ROKAF pada separuh tahun 2026.

ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.

Tentera udara negara itu bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu sebagai “tulang belakang” ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.

Selain itu, Korea Selatan juga merancang membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat untuk digunakan oleh pesawat pejuang generasi 4.5,  KF-21 “Boramae”.

Menurut agensi pertahanan negara itu, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat menggunakan teknologi tempatan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak  US$460 juta (RM2 billion).

“Program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat itu mensasarkan tahun 2035 untuk menghasilkan peluru berpandu itu.”

KF-21 “Boramae”

 

Program itu akan menambah baik kemampuan industri pertahanan tempatan menerusi pembangunan sistem pertahanan yang canggih serta meningkatkan lagi eksport peluru berpandu tempatan yang dikaitkan dengan pesawat pejuang KF-21.

Program pembangunan pesawat pejuang itu telah bermula pada 2015 tetapi ia hanya benar-benar bermula beberapa tahun lalu apabila KAI dan rakan-rakan teknologinya mula membina beberapa buah pesawat prototaipnya.

KAI mendapat bantuan daripada syarikat Lockheed Martin dalam program pembangunan KF-21, mengulangi kerjasama di antara dua syarikat ketika mereka sama-sama membangunkan pesawt pejuang ringan FA-50.

Pesawat prototaip KF-21 itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).

Persamaan dan perbezaan diantara KF-21 Boramae dan F-22 Raptor

 

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.

 Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

 

BoramaefeaturedKF-21ROKAF
Comments (0)
Add Comment