Atas Permintaan Ramai, KAI Bangunkan Varian FA-50 Satu Tempat Duduk

Varian pesawat pejuang ringan FA-50 satu tempat duduk akan mempunyai lebih ruang bagi tangki minyak bagi membolehkan pesawat pejuang untuk beroperasi pada jarak yang lebih jauh selain boleh membawa lebih banyak sistem persenjataan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) akan membangunkan varian pesawat pejuang ringan FA-50 satu tempat duduk (one seater) bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada pasaran bagi pesawat pejuang ringan satu tempat duduk.

Pada ketika ini, pesawat pejuang ringan FA-50 “Fighting Eagle” keluaran KAI hanya boleh didapati dalam varian dua tempat duduk.

“Sehingga kini syarikat KAI telah berjaya mengeksport 138 buah pesawat pejuang FA-50 dua tempat duduk keluarannya, tetapi pada ketika terhadap permintaan yang tinggi untuk pesawat pejuang FA-50 satu tempat duduk,” menurut laporan media-media Korea Selatan baru-baru ini.

KAI telah berjaya menarik perhatian beberapa buah negara untuk membeli pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50/TA-50 dua tempat duduk.

Antaranya adalah Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF), Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Tentera Udara Filipina dan Tentera Udara Poland.

Dua buah FA-50 Tentera Udara Filipina

 

Pelanggan terbaru KAI bagi pesawat pejuang ringan FA-50 adalah adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Syarikat Korea Selatan itu telah menerima banyak pertanyaan untuk varian FA-50 satu tempat duduk.

Varian pesawat pejuang ringan FA-50 satu tempat duduk akan mempunyai lebih ruang bagi tangki minyak bagi membolehkan pesawat pejuang untuk beroperasi pada jarak yang lebih jauh selain boleh membawa lebih banyak sistem persenjataan.

Pihak KAI menganggarkan permintaan pasaran dunia bagi pesawat pejuang ringan satu tempat duduk pada ketika ini adalah sebanyak 450 buah,dengan syarikat Korea Selatan itu meramalkan ia berkemampuan menjual sejumlah 300 unit pesawat pejuang jenis itu kepada pelanggan.

Pesawat pejuang ringan FA-50 itu dibangunkan daripada pesawat latihan lanjutan TA-50 hasil kerjasama diantara KAI dengan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Pada pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak bernilai RM4 bilion untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M.

FA-50

 

Kumpulan pertama empat pesawat pejuang ringan FA-50M, akan mula diterima oleh TUDM pada Oktober 2026 disusuli oleh 14 buah pesawat selebihnya secara berperingkat.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperolehi oleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Antara perbezaan utama di antara varian FA-50M milik Malaysia dengan varian lain ialah pesawat pejuang ringan milik TUDM itu antara lain bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran “Sniper’ Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.

Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18. — DSA

FA-50featuredKAIPesawat
Comments (0)
Add Comment