Peluru Berpandu Ballistik Korea Utara Guna Komponen Buatan Amerika Dan Sekutunya

“Didapati bahawa 75 peratus daripada komponen-komponen itu telah direka dan dijual oleh syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sementara 16 peratus daripada komponen itu adalah daripada syarikat di Eropah manakala kira-kira sembilan peratus daripada syarikat berpangkalan di Asia,” menurut laporan oleh Conflict Armament Research (CAR).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peluru berpandu buatan Korea Utara yang dilancarkan oleh Russia terhadap Ukraine bulan lepas dikesan mengandungi ratusan komponen yang diperbuat oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan Eropah.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasat, Conflict Armament Research (CAR) baru-baru ini menyatakan bahawa mereka telah menyelidik 290 komponen didapati daripada serpihan peluru berpandu buatan Korea Utara dilancar terhadap bandar Kharkiv di Ukraine.

“Didapati bahawa 75 peratus daripada komponen-komponen itu telah direka dan dijual oleh syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sementara 16 peratus daripada komponen itu adalah daripada syarikat di Eropah manakala kira-kira sembilan peratus daripada syarikat berpangkalan di Asia,” menurut laporan itu.

Komponen-komponen terbabit menurut laporan daripada CAR itu membabitkan sistem navigasi peluru berpandu itu yang boleh dikesan berasal daripada syarikat-syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, China, Jerman, Jepun, Belanda, Singapura, Switzerland dan Taiwan.

Menurut pasukan penyelidik daripada CAR lagi, komponen-komponen itu telah dibuat di antara tahun-tahun 2021 hingga 2023.

Peluru berpandu Korea Utara.

 

Sebelum ini CAR dalam laporannya juga menyatakan bahawa 82 peratus daripada komponen-komponen elektronik yang didapati dalam dron berani mati “Shahed” buatan Iran digunakan oleh Russia di Ukraine itu berasal daripada syarikat-syarikat Amerika, Asia dan negara-negara Eropah.

Menurut pemerhati, maklumat menunjukkan peluru berpandu Korea Utara itu menggunakan komponen daripada negara-negara Barat membuktikan kesukaran dihadapi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk mengawal komponen elektronik sebaik sahaja ia meninggalkan kilang-kilang di seluruh dunia.

Ia juga membuktikan bahawa Korea Utara telah mewujudkan jaringan pembelian komponen-komponen elektronik yang penting untuk peluru berpandu tanpa dikesan walaupun berdepan dengan sekatan oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penganalisis Korea Selatan menyatakan bahawa peluru berpandu ballistik jarak dekat Korea Utara yang dilancar oleh Russia terhadap Ukraine itu dipercayai adalah daripada jenis KN-23 (Hwasong-11) yang boleh membedil sasaran sejauh 900km.

Kemampuan peluru berpandu ballistik KN-23 milik Korea Utara itu adalah hampir sama sebagaimana peluru berpandu ballistik jarak dekat “Iskander” buatan Russia.

Komponen buatan negara Barat yang didapati pada peluru berpandu Korea Utara.

 

Beberapa bulan lalu, pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, kapal-kapal membawa kontena terbabit telah belayar daripada Rajin, Wilayah Hamgyong Utara ke Vladivostok di Timur Jauh Russia.

Jumlah 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu dan pelbagai peluru yang dihantar Korea Utara ke Russia adalah lebih banyak daripada jumlah 1,000 buah kontena yang diberikan oleh Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu berdasarkan kepada imej-imej satelit.

Pihak tentera Korea Selatan mengesyaki 2,000 kontena itu mengandungi lebih daripada 200,000 peluru meriam 122mm dan lebih sejuta peluru meriam 152mm serta peluru-peluru untuk senjata lain.

Pegawai tentera Ukraine memeriksa serpihan peluru berpandu Korea Utara yang meletup di Kharkiv, Ukraine.

 

“Petanda bahawa Korea Utara membekalkan senjata dan peluru kepada Russia telah dikesan sejak pertengahan tahun lepas dan penghantaran kontena-kontena itu telah dipertingkatkan pada Ogos lalu sebelum kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia, “ kata pegawai Korea Selatan.

Pemimpin Korea Utara telah bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di Vostochny Cosmodrome di Timur Jauh Russia pada September. — DSA

(LAGI ARTIKEL TENTANG PELURU BERPANDU KOREA UTARA)

CARfeaturedKorea UtaraLaporanPeluru berpandu
Comments (0)
Add Comment