Korea Utara Uji Lebih Banyak Peluru Berpandu Ballistik Untuk Bedil Kepentingan Amerika

Ujian peluru berpandu itu membuktikan kepada para penganalisis bahawa Korea Utara sedang berusaha membangunkan peluru-peluru berpandu yang lebih berkuasa dan sukar dikesan bertujuan membedil sasaran-sasaran milik tentera Amerika Syarikat seperti di Jepun, Korea Selatan dan juga Guam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tahun baru 2024 baru sahaja melangkah masuk dua minggu, tetapi Korea Utara telah pun melancarkan ujian peluru berpandu yang pertama untuk tahun ini, menurut laporan agensi berita negara Komunis itu.

Peluru berpandu yang dilancarkan dalam siri ujian terbaru ini melibatkan peluru berpandu jarak-sederhana yang membawa kepala peledak hypersonik.

Ujian peluru berpandu itu membuktikan kepada para penganalisis bahawa Korea Utara sedang berusaha membangunkan peluru-peluru berpandu yang lebih berkuasa dan sukar dikesan bertujuan membedil sasaran-sasaran milik tentera Amerika Syarikat seperti di Jepun, Korea Selatan dan juga Guam.

Pihak tentera Jepun dan Korea Utara mengesan pelancaran peluru berpandu hypersonik Korea Utara daripada tapak pelancaran di ibu negaranya di Pyongyang.

Ujian pelancaran semalam itu berlaku kira-kira dua bulan selepas Korea Utara menyatakan bahawa ia telah berjaya menguji enjin bagi peluru berpandu ballistik jarak sederhana yang mampu membedil sasaran pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Jepun dan Guam.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA menyatakan bahawa peluru berpandu itu telah dilancarkan untuk menguji enjin bagi minyak pepejal (solid fuel) dan kemampuan manuver penerbangannya bersama-sama kepala peledak hypersonik miliknya.

Penganalisis menyatakan bahawa ia merupakan peluru berpandu yang telah dipertingkatkan kemampuannya berbanding varian lamanya.

Laporan oleh agensi berita Korea Utara menyatakan bahawa pemimpin negara itu Kim Jong-un turut menghadiri pelancaran peluru berpandu itu.

Pihak tentera Korea Selatan menyatakan bahawa peluru berpandu Korea Utara itu telah terbang sejauh 1,000km selepas dilancarkan sebelum mendarat di kawasan perairan di antara Semenanjung Korea dengan Jepun.

Diantara peluru berpandu ballistik jarak sederhana milik Korea Utara ketika ini adalah Hwasong-12 yang berkemampuan membedil sasaran di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Guam tetapi menggunakan enjin minyak cecair (liquid-fuel engine).

Berbanding dengan enjin minyak cecair, peluru berpandu yang dilengkapi dengan enjin minyak pepejal yang membolehkannya dilancarkan dengan lebih cepat dan lebih mudah untuk disembunyikan daripada pandangan musuh.

Korea Utara telah mula menguji peluru berpandu hypersonik sejak tahun 2021.

Peluru berpandu hypersonik direkabentuk dengan kelajuan melebihi Mach 5 dan jika teknologi ini dibangunkan dengan lebih maju, peluru berpandu hypersonic itu berkemampuan memberikan cabaran kepada sistem pertahanan udara masa kini disebabkan kelajuannya dan kelincahannya.  

Pakar peluru berpandu di Institut Kajian Strategi Nasional di Korea Selatan, Chang Young-keun menyatakan bahawa ujian pelancaran peluru berpandu terbaru Pyongyang itu menunjukkan negara itu secara bersungguh-sungguh untuk membangunkan peluru berpandu hypersonik terutamanya yang menggunakan enjin minyak pepejal. — DSA

featuredHypersonikKorea UtaraPeluru berpandu
Comments (0)
Add Comment