Pegawai Amerika Syarikat Bimbang “Iron Dome” Israel Tidak Mampu Tangani Serangan Hezbollah

Sebagaimana dilaporkan oleh stesen televisyen terkenal Amerika Syarikat CNN, tiga orang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang keupayaan sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu kepada pegawai Israel dalam menangani serangan roket dan peluru berpandu Hezbollah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah melahirkan kebimbangan mereka terhadap kemampuan sistem pertahanan udara “Iron Dome” Israel menangani serangan peluru berpandu dan dron-dron berani mati Hezbollah sekiranya peperangan besar-besaran tercetus di antara mereka, sebagaimana diramalkan oleh banyak pihak.

Sebagaimana dilaporkan oleh stesen televisyen terkenal Amerika Syarikat CNN, tiga orang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang keupayaan sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu kepada pegawai Israel dalam menangani serangan roket dan peluru berpandu Hezbollah.

Sebagaimana ditonjolkan oleh Hezbollah semalam, mereka bukan sahaja memiliki peluru berpandu dan dron berani mati untuk memusnahkan “Iron Dome”, tetapi mereka juga memiliki dron-dron FPV (First Person View) untuk memusnahkan sistem pertahanan udara kebanggaan Israel.

Dron-dron FPV kini banyak digunakan oleh anggota-anggota tentera Russia dan Ukraine.

“Kita telah melakukan kajian dan mendapati bahawa ada sebahagian daripada sistem pertahanan udara Iron Dome itu akan bergelut untuk menangani peningkatan serangan peluru berpandu dan roket-roket daripada Hezbollah sekiranya peperangan besar-besar tercetus antara kedua pihak,” kata pegawai Amerika itu.

“Iron Dome”

 

Buat beberapa tahun, Hezbollah telah mengumpul ratusan ribu roket pelbagai kaliber dan juga peluru berpandu sebagai persiapan sekiranya peperangan dengan Israel tercetus.

Penganalisis menyatakan pejuang-pejuang Hezbollah memiliki di antara 150,000 roket pelbagai jenis sehingga kepada 1 juta roket berada di dalam pegangannya.

Pegawai tentera Israel juga mengakui bahawa bahawa sistem pertahanan udara “Iron Dome” akan berhadapan dengan cabaran yang hebat untuk menangani peningkatan serangan roket dan peluru berpandu daripada Hezbollah.

Ia juga mengakui bahawa tentera Israel telah mula memindahkan kelengkapan dan aset-aset pertahanan mereka daripada Gaza ke utara Israel sebagai persediaan untuk berhadapan dengan Hezbollah sekiranya peperangan tercetus antara mereka.

Kebimbangan Amerika terhadap kemampuan sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu juga bertitik-tolak darripada insiden awal bulan ini dimana pejuang kumpulan Hezbollah di  Lubnan telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara Iron Dome milik tentera Israel menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” yang dibekalkan oleh Iran.

Sistem pertahanan udara Iron Dome itu telah dibangunkan secara bersama antara Israel dan Amerika Syarikat yang telah membelanjakan USD$2.9 billion (RM13.66 billion) untuk membangunkan sistem itu.

Keupayaan memusnahkan sistem pertahanan udara Iron Dome milik Israel itu disifatkan suatu kejayaan besar oleh Hezbollah,yang telah beberapa kali cuba memusnahkannya sama ada menerusi bedilan roket atau sistem  dron berani mati.

Sistem Pertahanan Iron Dome sedang memintas roket-roket daripada Gaza.

 

Ia adalah kali pertama dimana Hezbollah dapat membuktikan dengan jelas kepada seluruh dunia kejayaannya memusnahkan sistem pertahanan udara Iron Dome itu.

Kumpulan Hezbollah telah mengeluarkan  video dan gambar-gambar yang  menunjukkan peluru berpandu anti-kereta kebal generasi ketiga “Almas” itu telah memusnahkan pelancar sistem pertahanan udara Iron Dome yang terletak di sebuah pangkalan tentera Israel di Ramot Naftali.

Peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” yang dilengkapi  dengan video video merakam saat-saat akhir sebelum ia membedil pelancar sistem pertahanan udara Iron Dome.

penganalisis ketenteraan Israel juga menyatakan bahawa sepanjang pengetahuian mereka insiden di Ramot Naftali itu adalah kali pertama di mana pejuang-pejuang Hezbollah telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara Iron Dome.

Beberapa hari sebelum itu, pejuang Hezbollah mendakwa ia telah berjaya memusnahkan radar sistem pertahanan udara Iron Dome yang terletak di Bukti Golan dengan jayanya.

Sejak kebelakangan ini, pejuang-pejuang Hezbollah telah meningkatkan serangan mereka terhadap kedudukan sistem pertahanan udara Iron Dome, yang memberikan perlindungan udara terhadap bandar-bandar di utara Israel dariada serangan roket dan  dron berani mati pejuang  Lubnan.

Apa yang menariknya adalah, peluru berpandu anti-kereta kebal generasi ketiga “Almas” buatan Iran yang membedil sistem pertahanan udara Iron Dome di pangkalan tentera di Ramot Naftali dipercayai adalah hasil usaha  reverse-engineered daripada peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” tentera Israel.

Kini sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas”  keluaran Iran yang dikatakan adalah hasil usaha “reverse-engineer” (ciplak) peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike”, telah digunakan untuk membedil kedudukan “tuannya”, tentera Israel yang merupakan pihak yang mula-mula membangunkan peluru berpandu itu.

Menurut maklumat, pejuang-pejuang Hezbollah berjaya merampas peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” Israel ketika konflik antara kedua-dua pihak di selatan  Lubnan pada 2006 dan bertindak menyerahkannya kepada Iran.

Pakar-pakar persenjataan Iran yang memperolehi sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” itu telah bertindak melakukan “reverse-engineer” terhadap sistem persenjataan moden itu dan berjaya menghasilkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas.” — DSA

 

featuredHezbollahIron DomeRoket
Comments (0)
Add Comment