NGAD, Tempest Dan FCAS, Perlumbaan Bangunkan Pesawat Pejuang Gen-6

Walaupun era pesawat pejuang generasi kelima baru sahaja bermula, usaha telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas untuk merekabentuk pesawat pejuang generasi ke-enam yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2030-an.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah telah mula melabur berbilion-bilion Dollar dalam program untuk membangunkan pesawat pejuang masa depan (Future Combat Air System) atau dipanggil pesawat pejuang generasi ke-enam untuk keperluan tentera udara masing-masing.

Walaupun era pesawat pejuang generasi kelima baru sahaja bermula, usaha telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas untuk merekabentuk pesawat pejuang generasi ke-enam yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2030-an.

Dipanggil Next Generation Air Dominance (NGAD),  Tentera Udara Amerika Syarikat memulakan program itu dengan tujuan utamanya adalah untuk menggantikan pesawat pejuang generasi kelima  F-22 “Raptor”.

Pesawat F-22 itu bakal dibersarakan pada awal tahun 2030 dan mungkin pada ketika itu, pesawat generasi ke-enam Amerika Syarikat sudah bersedia untuk terbang dan menjalankan tugasnya.

Pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat pernah mengaku kepada media pertahanan negara itu bahawa ia telah pun memiliki pesawat prototaip NGAD itu dan ia telah berjaya diterbangkan.

Program itu walaupun diakui memang wujud oleh tentera Amerika, tetapi ia dilaksanakan dengan tahap kerahsiaan yang amat tinggi kerana sudah tentu ia tidak mahu China atau Russia mengetahui mengenainya.

Pesawat generasi ke-enam Amerika Syarikat di bawah program NGAD dipercayai akan beroperasi bersama-sama pesawat tanpa pemandu (UAV) di bawah konsep Loyal Wingman.

Selain Amerika Syarikat,  sekutunya Britain bersama-sama rakanya Sweden dan Itali serta syarikat-syarikat BAE Systems, Saab Group dan Leonardo juga sedang membangunkan pesawat generasi ke-enam dipanggil “Tempest.”

Projek “Tempest” oleh British, Itali dan Sweden

 

Jepun juga terlibat dalam program itu, dalam peranan yang terhad.

Tim projek “Tempest” yang bermula pada tahun 2015 tetapi hanya didedahkan pada umum ketika Pameran Farnborough pada 2018 mempunyai kira-kira 2,000 petugas dengan bajet sebanyak US$2.6 bilion untuk tempoh selama 10 tahun.

Juga dipanggil “Future Combat Air System” (FCAS), program “Tempest” itu juga membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam yang akan beroperasi bersama-sama beberapa pesawat tanpa pemandu dalam konsep “wingman” juga.

Satelit merakam sebuah pesawat di Area 51, Amerika Syarikat.

 

Pesawat generasi ke-enam itu pula boleh diterbangkan oleh juruterbang atau dikawal daripada jauh.

Pihak berkuasa British menjangkakan pesawat pejuang generasi ke-enam itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2035.

Sementara itu, Perancis, Jerman dan Sepanyol juga telah melancarkan program “FCAS” yang tersendiri untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang seperti Rafale, Eurofighter Typhoon.

Future Combat Air System (FCAS) oleh Jerman, Sepanyol dan Perancis.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

FCAS yang sedang dibangunkan oleh tiga negara Eropah itu akan menggabungkan fungsi pesawat pejuang, Medium Altitude Long Endurance UAV,  peluru berpandu kruis, swarm drones dan lain-lain lagi.

Untuk fasa pertama projek itu, setiap satu negara perlu menyumbang Euro 1.2 bilion bagi tempoh di antara tahun 2021 hingga tahun 2024.

NGAD

 

Mereka menjangkakan pesawat prototaip yang pertama akan berjaya dihasilkan pada 2027.

Selain Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang memiliki program FCAS atau pesawat pejuang generasi ke-enam,  China dan Russia juga dipercayai mempunyai program yang sama supaya tidak ketinggalan.

–DSA

 

FCASfeaturedNGADTempest