Negara Arab Teluk Salur Maklumat Kritikal Perisikan Bantu Israel Tangani Serangan Iran – WSJ

Menurut WSJ, peluru-peluru berpandu dan dron Iran telah dijejaki oleh radar di negara-negara Arab Teluk sebaik sahaja ia dilancarkan dan maklumat perisikan mengenainya telah disalurkan kepada pesawat pejuang beberapa negara yang berada di ruang udara Jordan dan negara lain, kapal-kapal perang dan sistem-sistem pertahanan udara Israel bagi membolehkan ia memintasnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media Amerika Syarikat, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa beberapa negara Arab Teluk termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memberikan maklumat perisikan yang kritikal bagi membantu Israel menangani serangan peluru berpandu dron berani mati daripada Iran.

WSJ memetik sumber-sumber daripada pegawai Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Mesir.

Kerjasama di antara negara-negara Arab Teluk dan Israel itu telah dikepalai oleh Amerika Syarikat, yang sejak beberapa tahun cuba mewujudkan kerjasama tidak formal antara negara-negara Arab untuk menangani perluasan pengaruh Teheran.

Laporan oleh media Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa “kejayaan” Israel menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron Iran itu adalah disebabkan maklumat-maklumat perisikan yang diberikan oleh negara-negara Arab Teluk tentang serangan oleh Iran itu.

Menurut WSJ, peluru-peluru berpandu dan dron Iran telah dijejaki oleh radar di negara-negara Arab Teluk sebaik sahaja ia dilancarkan dan maklumat perisikan mengenainya telah disalurkan kepada pesawat pejuang beberapa negara yang berada di ruang udara Jordan dan negara lain, kapal-kapal perang dan sistem-sistem pertahanan udara Israel bagi membolehkan ia memintasnya.

Selain itu, negara-negara Arab juga membenarkan penggunaan ruang udara.

Ia juga berkata ada di antara angkatan tentera negara-negara Arab itu memainkan peranan yang aktif dalam usaha menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati Iran itu.

Laporan berita oleh WSJ itu, menjelaskan bahawa terdapat beberapa negara Arab lain terlibat dalam usaha “membantu Israel” itu dan bukan hanya Jordan.

Bagaimanapun media Amerika Syarikat itu berkata bahawa penglibatan Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang lain dalam usaha membantu Israel menangani serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati itu cuba “disenyapkan”.

WSJ dalam laporannya juga berkata bahawa dua hari sebelum serangan terhadap Israel itu, pegawai Iran memberitahu rakan sejawatnya di Arab Saudi dan negara-negara Arab Teluk tentang bentuk tindakan yang bakal diambilnya terhadap rejim Yahudi itu.

Bagaimanapun negara-negara Arab Teluk itu telah memberitahu Amerika Syarikat tentang rancangan Iran itu, sekaligus membantu juga Israel melakukan persediaan yang sepatutnya.

Tindakan Jordan mengarah pesawat-pesawat pejuangnya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati dilancar Iran terhadap Israel telah mengundang kecaman dan kritikan keras daripada keseluruhan dunia Arab dan Islam.

Bukan sahaja Jordan dilaporkan mengarah pesawat-pesawat pejuangnya bertindak menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran yang mensasarkan Israel,tetapi Amman juga telah “membuka” ruang udaranya kepada pesawat pejuang Israel dan Amerika Syarikat untuk menembak jatuh peluru berpandu dan dron dilancar Teheran itu.

Ramai dikalangan warga Arab dan penduduk Islam seluruh dunia menyifatkan tindakan Jordan itu amat mengejutkan kerana negara itu dilihat sebagai “mempertahankan” Israel pada ketika rejim Yahudi pimpinan Benjamin Netanyahu itu membunuh lebih daripada 33,000 penduduk Palestin menerusi tindakan ketenteraannya di Gaza ketika ini.

Sistem pertahanan anti-ballistik “Arrow”

 

Kerajaan Jordan menyatakan bahawa tindakannya mengarahkan pesawat-pesawat pejuang menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran itu dan membuka ruang udaranya adalah suatu tindakan mempertahankan diri dan bukan bertujuan untuk membantu Israel.

Ia berkata peluru berpandu dan dron Iran yang memasuki ruang udaranya menuju ke Israel ditangani supaya ia tidak membahayakan penduduk dan rakyatnya serta mereka yang mendiami kawasan-kawasan penempatan yang padat di Jordan. — DSA

Arab TelukfeaturedIsraelPerisikan