(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan penghantaran 20 buah kenderaan berperisai untuk kegunaan anggota pasukan pengaman batalion Malaysia (MALBATT) 850 di Lubnan akan selesai pada hujung tahun depan.
Unit Komunikasi Strategik MINDEF berkata, perolehan membekal, menghantar dan mentauliah semua APC itu berdasarkan kontrak dimeterai kerajaan melalui kementerian berkenaan bermula 3 Disember 2021 hingga 2 Disember 2024.
“Melalui kontrak itu, syarikat dilantik akan membekalkan sejumlah 20 unit kenderaan APC untuk kegunaan pasukan MALBATT 850 di Lubnan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan MINDEF sebagai maklum balas kepada laporan akhbar yang memetik pengendali akaun Twitter dengan nama ‘Malaysia Defence Review’ yang melaporkan 20 kenderaan APC yang sepatutnya beroperasi pada 2023 akan lewat tiba iaitu bermula 2026 hingga 2028.
Sementara itu dalam satu kenyataan menerusi akaun media sosial Tentera Darat Malaysia hari ini,Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menghadiri Sesi Pengesahan Rektifikasi Kenderaan Perisai 4 x 4 Armoured Personnel Carrier (APC) untuk kegunaan MALBATT 850 di Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara, Turki.
Menurut kenyataan itu, setelah selesai pengesahan rektifikasi, PTD turut menyempurnakan sesi mentauliahkan First Unit Vehicle (FUV) 4 x 4 APC tersebut sebelum syarikat meneruskan pembikinan kenderaan untuk Tentera Darat di Kompleks Pengilangan dan Pengeluaran Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara.
Bagi menzahirkan rasa bangga dikalangan warga Tentera Darat dalam mengoperasikan kenderaan perisai tersebut, ia telah dijenamakan dengan nama KP 4×4 PANTHERA.
Nama PANTHERA atau nama saintifiknya PANTHERA PARDUS dipilih kerana haiwan ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pelbagai habitat di seluruh dunia dan merupakan pemangsa yang pintar sesuai dengan kenderaan perisai ini yang boleh diaturgerak dalam semua keadaan.
Perolehan aset kenderaan sebegini dapat meningkatkan lagi tahap kesiagaan ketumbukan MALBATT yang bertugas sekaligus mengukuhkan hubungan kerjasama pertahanan di antara Malaysia dan Turkiye.
Nama asal Turkiye kenderaan itu adalah “Ejder Yalchin” tetapi mungkin sukar untuk kita menyebutnya, maka kini ia dikenali dengan nama “Panthera.”
Kenderaan perisai “Panther” buatan syarikat Nurol Makina itu mula diperkenalkan di Malaysia pada 2018 dan telah menjalani pelbagai ujian di Malaysia tidak lama dahulu, bersama-sama beberapa pesaingnya.
Seawal Jun tahun lepas, Defence Security Asia telah dimaklumkan oleh rakan-rakan di industri pertahanan bahawa kenderaan perisai buatan Turki itu bakal menjadi pilihan kepada ATM untuk digunakan oleh anggotanya yang berkhidmat dengan PBB di Lubnan.
Untuk kegunaan anggota pengaman PBB, kerajaan akan bayar dulu untuk pembelian kenderaan MRAP ini sebelum di-reimburse oleh PBB kemudiannya.
Kenderaan perisai “Panthera” ini bakal menyertai kenderaan MRAP IAG Guardian yang turut digunakan oleh tentera pengaman kita di Lubnan.
Kedua-dua kenderaan perisai itu, Panthera dan Guardian memberikan perlindungan yang lebih baik kepada anggota tentera pengaman kita yang bertugas di Lubnan daripada ancaman periuk api, Improvised Explosive Device (IED), shrapnel dan lain-lain lagi berbanding kenderaan berperisai “Condor” atau kenderaan “soft-skinned” lain yang digunakan dalam tugasan harian di negara bergolak itu.
Pada pameran DSA 2022, syarikat Nurol Makina dan NADI Corp telah menandatangani “final configuration review acceptance” bagi kenderaan Ejder Yalchin (Panthera) itu.
Spesifikasi kenderaan perisai buatan Nurol Makina ini adalah, ia memiliki berat di antara 12 tan hingga 14 tan dan mampu pelbagai muatan seberat 4 tan.
Kenderaan perisai ini mampu memecut sehingga 110 km/jam dengan radius operasi sejauh 600km menggunakan enjin 300 kuasa kuda.
“Panthera” sebagaimana ia dikenali kini (khas untuk Malaysia sahaja) berkemampuan membawa sehingga 11 orang anggota tentera lengkap bersenjata.
Kenderaan perisai atau Mine Resistant Ambush Protected (MRAP) juga boleh dilengkapi dengan persenjataan mesingan berat dan Automatic Grenade Launcher.
Bagaimanapun admin tidak pasti persenjataan apakah akan digunakan oleh “Panthera” di Lubnan, kemungkinan besar hanyalah mesingan 7.62mm dengan menggunakan Remote Control Weapon Station (RCWS) bagi perlindungan lebih baik anggotanya/pengendali senjata.
Sistem persenjataan yang lebih besar kalibernya berkemungkinan akan mendapatkan bantahan keras daripada pihak tentera Israel. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE