Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Mula Bina 1,000 Buah Kereta Kebal “Altay”, Bakal Dieksport Juga

Syarikat Turki, BMC akan menghasilkan 1,000 kereta kebal utama “Altay” untuk Tentera Darat Turki. Negara Mediterranean juga akan mengeksport “Altay” ke luar negara dengan Qatar bakal menjadi negara luar pertama yang menggunakan kereta kebal buatan Turki itu.

0 3,946

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula daripada tahun depan, Turki akan memulakan produksi bersiri (serial production) kereta kebal utama “Altay” yang merupakan kereta kebal utama pertama  dibangunkan oleh industri pertahanan negara Mediterranean itu.

Syarikat BMC yang membangunkan kereta kebal utama itu akan menghasilkan dua buah kereta kebal “Altay” pada tahun depan yang digunakan untuk tujuan pengumpulan data.

Untuk fasa pertama, syarikat BMC yang merupakan usahasama di antara Turki dan Qatar akan menghasilkan 250 buah kereta kebal utama “Altay” dengan kemudahan syarikat terbabit menghasilkan lapan buah kereta kebal utama itu dalam sebulan, menurut pengurus besar syarikat itu, Mehmet Karaaslan.

Secara keseluruhannya, syarikat BMC akan menghasilkan 1,000 kereta kebal “Altay” untuk Tentera Darat Turki.

Turki juga akan mengeksport “Altay” ke luar negara dengan Qatar bakal menjadi negara luar pertama yang menggunakan kereta kebal buatan Turki itu.

Altay

Kejayaan Turki membangunkan kereta kebal utama banyak didorong hasil kerjasama teknologinya dengan syarikat Korea Selatan yang tampil membekalkan enjin dan sistem transmisi untuk program kereta kebal “Altay” itu.

Syarikat Korea Selatan, Doosan Infracore Co dan S&T Dynamics tampil selepas Jerman mengenakan sekatan eksport senjata dan sistem pertahanan kepada Turki berikutan kempen ketenteraannya di Syria.

Pada mulanya, kereta kebal “Altay” itu dirancang menggunakan enjin dan sistem transmisi yang dibekalkan oleh syarikat Jerman, MTU dan Renk.

Syarikat Turki MKE juga berkerjasama dengan syarikat Korea Selatan, Hyundai ROTEM untuk membangunkan sistem meriam 120mm 55 caliber smoothbore gun yang akan digunakan oleh kereta kebal “Altay”.

Selain itu, syarikat Hyundai Rotem juga bekerjasama dengan syarikat Turki, Roketsan untuk membangunkan modular armor bagi “Altay.”

Altay

Sejak daripada sekatan senjata Jerman terhadap Turki, projek pembangunan kereta kebal “Altay” berhadapan dengan masalah mencari enjin yang sesuai menyebabkan pembangunannya tertangguh sehinggalah kemunculan syarikat-syarikat Korea Selatan.

Turki mula membangunkan kereta kebal “Altay” pada 2007, tetapi ia berhadapan dengan masalah untuk memperolehi enjin berikutan tindakan beberapa negara Eropah yang enggan membekalkannya di atas beberapa sebab.

Walaupun kereta kebal “Altay” akan menggunakan enjin dan sistem transmisi Korea Selatan pada peringkat awal, tetapi kereta kebal itu bakal menggunakan enjin buatan syarikat Turki sendiri dinamakan “Batu V”.

Enjin 12 silinder turbo diesel “Batu V” yang dibangunkan oleh BMC untuk kereta kebal “Altay” itu akan menjana kuasa sebanyak 1,600 kuasa kuda bagi mengerakkan kereta kebal yang memiliki berat keseluruhan 65 tan itu.

Enjin buatan tempatan serta sistem transmisi bagi kereta kebal itu adalah hasil kerjasama di antara BMC dengan syarikat-syarikat Itali Fiat/Iveco.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Selain itu, bagi sistem perlindungan kereta kebal itu pula, ia akan dilengkapi dengan add-on armour yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkenal Turki, Roketsan untuk pertahanan daripada periuk api serta IED (Improvised Explosive Device).

“Altay” juga akan dilengkapi dengan Active Protection System (APS) dikenali dengan nama “Akkor” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, ASELSAN.

“Akkor” itu terdiri daripada launcher pods dan radar detection system yang diletakkan di atas turretnya.

Sistem APS “Akkor” akan memberikan perlindungan 24 jam kepada kereta kebal daripada sebarang ancaman roket atau peluru berpandu pihak musuh. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

 

 

Comments
Loading...