(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bertempat di Pangkalan Udara Kuantan hari ini, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang telah diberikan penghargaan dalam satu Istiadat Perbarisan Penghargaan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21.
Perbarisan diadakan sebagai penghargaan khas kepada beliau yang akan menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi setelah 43 tahun enam bulan mencurahkan khidmat bakti di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Istiadat Perbarisan Penghargaan ini melibatkan seramai 63 Pegawai dan 723 anggota serta pelbagai aset milik ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Affendi atau callsign “APAI” akan menyerahkan tampuk pemerintahan ATM kepada penggantinya, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman Rabu ini.
Sebagai bekas juruterbang pesawat pejuang MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), adalah amat simbolik Affendi diberikan acara tradisi “send-off” menggunakan pesawat pejuang MiG-29UB selepas instiadat perbarisan itu.
Acara “street lining” juga dilaksanakan bagi menghargai Panglima Angkatan Tentera itu yang juga adalah pengasas kepada pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 yang dikenali sebagai “Smokey Bandit”.
TUDM telah pun menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-29N dan MiG-29UB miliknya.
Sementara itu dipetik oleh BERNAMA, Affendi berkata beliau yakin penggantinya itu mempunyai kemampuan yang unik dan tersendiri, untuk meneruskan kesinambungan legasi dan hasrat yang telah dibina selama ini.
Beliau berkata dengan landskap keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks dan dinamik pada hari ini, ia menuntut ATM untuk dikemudi oleh seorang pemimpin generasi moden yang lebih bertenaga, produktif serta kompetitif.
“Sejujurnya, saya menerima persaraan ini dengan hati yang terbuka, selain merasa gembira kerana telah dapat meneruskan legasi kepimpinan terdahulu, di samping dapat menyediakan asas yang sewajarnya untuk pengganti saya kelak.
“Justeru, besarlah harapan saya agar seluruh barisan kepimpinan serta segenap lapisan warga ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan, termasuklah warga Kementerian Pertahanan, agar dapat meneruskan sokongan dan dorongan yang sama kepada Panglima Angkatan Tentera yang baharu ini nanti,” katanya.
Affendi mengambil alih jawatan PAT daripada Jen Tan Sri Panglima Ts. Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin pada 2 Januari 2020.
Dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 21 Ogos 1962, beliau mula memasuki perkhidmatan TUDM pada tahun 1980 setelah menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi.
Selepas ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan dianugerahkan sayap penerbangan pada tahun 1982, kerjaya Affendi sebagai juruterbang pesawat pejuang bermula dengan pesawat MB339A, A4-PTM Skyhawk dan MiG-29 Fulcrum sehingga berjaya memperoleh lebih 2000 jam pengalaman penerbangan.
Sebagai juruterbang pesawat tempur, beliau telah terlibat secara aktif dalam pelbagai operasi udara di dalam Malaysia termasuk menentang pengganas komunis, meronda Zon Maritim dan ruang udara negara.
Sepanjang kariernya, Affendi telah menjawat pelbagai jawatan sama ada di peringkat taktikal, operasi dan juga strategik.
Antara jawatan penting yang pernah dijawat adalah Panglima Angkatan Bersama, Panglima Operasi Udara TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Udara ke-18 sebelum menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 pada 2 Januari 2020. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com