Menteri Pertahanan Kini di Kuwait, Dipercayai Berkait-Rapat Dengan F/A-18C/D Milik KAF

Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kini sedang berada di Kuwait dalam rangka kerja lawatan rasmi ke negara Timur Tengah itu, dipercayai berkait-rapat dengan usaha Malaysia membeli pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait (KAF).
 “Saya selamat tiba di Kuwait, dalam rangka lawatan kerja rasmi,” menurut kenyataan ringkas Menteri Pertahanan menerusi akaun rasmi FB miliknya.
“Semasa berada di sini, saya akan bertemu dengan Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah, Perdana Menteri Kuwait; selain akan bertemu dengan rakan sejawat saya Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Kuwait. “
“Di samping itu, saya juga akan mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber milik Tentera Udara Kuwait,” menurut Mohamed Khaled.
Delegasi Malaysia turut disertai Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Markas Tentera Udara Malaysia.
Pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Kuwait
Ketibaan Menteri Pertahanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Kuwaut ‘Alauddin Mohd Nor dan juga Ketua Staf Angkatan Tentera Kuwait Leftenan Jeneral Bandar Salem Abdullah Al-Muzayan.
Baru-baru ini, Defence Security Asia turut mendedahkan tentang rancangan Menteri Pertahanan untuk melawat Kuwait dalam usaha untuk membeli pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait itu.
Beberapa bulan lalu, Menteri Pertahanan telah menerima kunjungan hormat duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed ALSALEH dan antara topik perbincangan antara mereka meliputi soal hasrat TUDM untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.”
“Pertemuan tersebut turut membincangkan soal “Military-to-Military Cooperation”, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza,” kata beliau di dalam posting FB Mohamed Khaled pada ketika itu.
Pesawat pejuang F/A-18 Milik Tentera Udara Kuwait
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Tentera Udara Kuwait mempunyai 39 pesawat F/A-18C/D Hornet terdiri daripada pesawat pejuang satu dan dua tempat duduk.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
(gambar kredit FB Mohamed Khaled)
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA

F/A-18C/DfeaturedKhaledKuwait
Comments (1)
Add Comment