(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mahkamah di Belanda telah mengarahkan kerajaan negara itu supaya menghentikan penghantaran alat-alat ganti pesawat pejuang F-35 yang digunakan oleh Israel untuk mengebom Semenanjung Gaza.
Keputusan itu yang dicapai oleh Mahkamah Rayuan Belanda hari ini, menyatakan terdapat risiko jelas bahawa alat-alat ganti pesawat pejuang itu yang dieksport oleh Belanda kepada Israel telah digunakan dalam “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Mahkamah terbabit mengatakan bahawa terdapat kemungkinan Israel menggunakan pesawat pejuang F-35 dalam serangan terhadap Semenanjung Gaza yang menyebabkan ribuan penduduk awamnya maut.
Ia juga menolak alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Belanda bahawa ia tidak perlu melakukan pemeriksaan baru terhadap permit baru untuk eksport.
Kerajaan Belanda dalam satu kenyataan berkata ia akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung negara itu, dengan alasan bahawa alat-alat ganti untuk pesawat pejuang F-35 itu adalah amat penting bagi membolehkan Israel mempertahankan dirinya daripada ancaman di rantau itu seperti Iran, Yemen, Syria dan Lubnan.
Keputusan oleh Mahkamah Rayuan Belanda itu menyusuli rayuan oleh Amnesty International dan Oxfam terhadap keputusan oleh mahkamah rendah negara itu tahun lepas yang menolak alasan mereka bahawa bekalan alat-alat ganti itu menyumbang kepada pelanggaran besar-besaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Semenanjung Gaza.
Organisasi hak asasi manusia menuduh kerajaan Belanda bersubahat dalam melanggar jenayah kemanusiaan dengan terus-menerus membekalkan alat-alat ganti pesawat pejuang itu kepada Israel.
Belanda menempatkan salah satu daripada kemudahan serantau yang menempatkan alat-alat ganti pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat yang kemudiannya diedarkan kepada negara-negara lain atas permintaan mereka.
Kemudahan di Belanda itu telah membekalkan sekurang-kurangnya satu penghantaran alat-alat ganti kepada Israel sejak konflik di Semenanjung Gaza itu meletus.
Peguam-peguam kerajaan Belanda juga mempertikaikan bahawa Israel dengan mudah boleh memperolehi alat-alat ganti pesawat pejuang F-35 itu sekiranya negara Eropah itu tidak membekalkan kepadanya.
Israel merupakan pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang F-35, selepas memilih pesawat itu pada tahun 2010.
Enam tahun selepas itu, pada Jun 2016, Tentera Udara Israel menerima pesawat F-35A “Adir” yang pertama dan mengisytiharkan pesawat-pesawatnya bersedia untuk beroperasi setahun selepas itu.
Tentera Udara Israel membeli 50 buah F-35I “Adir” (Mighty) dan telah pun menerima 14 buah pesawat pejuang canggih itu setakat ini.
Pesawat F-35I “Adir” itu memiliki elemen-elemen hardware dan software yang direkabentuk oleh Israel, di mana mereka dibenarkan mempunyai akses kepada kotak hitam pesawat, sesuatu yang tidak dibenar dilakukan oleh operator F-35 yang lain termasuk negara-negara NATO yang membiayai program pembangunan pesawat pejuang itu.
Pesawat F-35I “Adir” milik Tentera Udara Israel adalah pesawat pejuang satu tempat duduk yang boleh juga digunakan bukan sahaja untuk misi-misi serangan tetapi juga pengumpulan maklumat perisikan.
Ia adalah satu-satunya varian pesawat F-35 yang memiliki kompartmen khas untuk menempatkan senjata yang tidak boleh dikesan (untraceable).
Walaupun telah pun memiliki 50 buah pesawat F-35I, tetapi Israel bercadang menambah pemilikan pesawat itu dengan perolehan 25 lagi buah pesawat pejuang generasi kelima itu pada masa akan datang bagi membolehkannya mempunyai tiga buah skuadron. — DSA