Kapal LMS Batch 2 TLDM Perlu Lebih Berkuasa Untuk Hadapi “Cabaran” Laut China Selatan

Kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 TLDM perlu direkabentuk supaya lebih berkuasa daripada segi sistem persenjataannya dan sistem lain bagi membolehkannya menangani apa jua cabaran semakin getir di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka membuat beberapa perolehan aset baru di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bermula tahun ini sehingga tahun 2025, sebagaimana yang telah  dirancang sebelum ini.

Walaupun begitu, soal peruntukan kewangan menentukan segala-galanya dan admin berharap tidak ada pemotongan peruntukan pertahanan di bawah RMK-12 supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM serta perkhidmatan yang lain dapat menikmati proses pemodenan mereka.

Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob, peruntukan bagi RMK12 adalah terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM400 bilion dan ia sedikit sebanyak memberi keyakinan bahawa proses pembangunan ATM termasuk TLDM akan diteruskan, walaupun ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19.

Baru-baru ini dalam satu jawapan bertulis kepada soalan anggota Parlimen Bukit Bendera (DAP-Bukit Bendera) Wong Hong Hai, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menggariskan beberapa perkara tentang perolehan aset-aset baru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jawapan Menteri Pertahanan itu sedikit sebanyak memberikan kita gambaran tentang perancangan pembangunan bagi ketiga-tiga perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia di dalam jangkamasa terdekat ini.

Dua buah kapal LMS TLDM dalam satu latihan baru-baru ini di Laut China Selatan (Kredit TLDM)

Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulis di Parllimen itu menyatakan bahawa kerajaan akan memperolehi kumpulan kedua lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS Batch 2) bermula daripada tahun depan.

Lapan buah kapal LMS Batch 2 itu akan menambah empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Difahamkan,beberapa buah syarikat dalam dan luar negara telah pun menghantar cadangan mereka tentang pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2 itu.

Syarikat Boustead telah pun mengemukakan rekabentuk kapal LMS Batch 2 mereka pada satu pameran pertahanan beberapa tahun lepas, dengan harapan kerajaan akan memilih mereka sekali lagi bagi projek pembinaan LMS Batch 2.

Admin benar-benar berharap LMS Batch 2 TLDM itu akan lebih berkuasa daripada segi sistem dan persenjataannya berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang diperolehi daripada China, yang hanya memiliki berat kira-kira 700 tan dengan persenjataan yang amat minima.

Saiz kapal LMS Batch 2 ini juga diharap lebih besar dan berat supaya ia lebih stabil ketika berada di lautan, selain boleh beroperasi lebih jauh daripada pangkalannya.

Kapal LMS Batch 1 hasil kerjasama BNS dan CSOC, KD Keris  dan LMS kedua, KD Sundang telah pun memasuki perkhidmatan TLDM pada 31 Disember 2019 dan 14 Januari 2021 manakala LMS3 ketiga, Badik telah pun diterima beberapa minggu lepas.

Kapal LMS keempat, Rencong dijangka diserahkan kepada negara pada Disember tahun ini.

Sebagai perbandingan, kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura yang direkabentuk secara bersama antara ST Marine, Saab Kockums dan Defence Science and Technology Agency (DSTA) memiliki berat 1,200 tan dan dilengkapi dengan meriam 76mm, 25mm serta helicopter.

Kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura.

 

Kapal LMS Batch 2 TLDM perlu lebih berkuasa daripada segi sistem, persenjataannya bagi membolehkan ia berhadapan dengan cabaran yang lebih getir di Laut China Selatan.

Dalam jawapan bertulis itu, Hishammuddin juga berkata kerajaan akan melakukan perolehan sebanyak dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS) untuk TLDM yang dijangka bermula pada tahun 2024.

Ia adalah untuk memenuhi keperluan operasi ATM menerusi kemampuan Strategic Sealift antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Pada ketika ini, kapal-kapal LMS Batch 1 TLDM telah pun dikerah untuk “shadow” kapal-kapal pengawal pantai dan kapal penyelidik China di Laut China Selatan.

Sementara itu, helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM juga dijangka akan memasuki inventori perkhidmatan pada Mac dan Mei tahun depan, manakala 13 buah Fast Interceptor Craft (FIC) pula dijangka memasuki perkhidmatan TLDM secara berfasa mulai Mac 2023 hingga Mac 2024.

Bagi RMK-13 yang akan bermula pada tahun 2026 hingga tahun 2030, TLDM merancang untuk memperolehi sebanyak enam buah Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel – NGPV).

Gambar oleh TLDM

 

Bagi TUDM pula, Menteri Pertahanan itu berkata, Pembangunan Pelan Strategik TUDM yang berasaskan kepentingan negara yang mendokong warfighting concept dengan mengabungkan pelbagai domain pertahanan – Darat, Laut, Udara dan Siber.

Pelan ini seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan adalah merentasi ruang lingkup kerangka kedaulatan di kawasan teras, lanjutan dan hadapan.

“Mekanisme tindak balas TUDM merangkumi komponen pasif (diplomasi ketenteraan dan pengesanan ancaman) dan komponen aktif (penghindaran dan penyingkiran ancaman) melalui atur gerak aset-aset mengikut keperluan semasa.”

“Merangka beberapa perolehan aset baharu TUDM bagi memenuhi keperluan operasi seperti Fighter Lead=In Trainer (FLIT) – Light Combat Aircraft (LCA), Multi-Role Combat Aircraft (MRCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA), Long Range Air Defence Radar, Medium-Range Air Defence Missile System (MERAD), Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan Helikopter Utiliti.”

Perolehan aset tersebut adalah bagi meningkat kuasa operasi TUDM di samping menaiktaraf sistem pengawasan ruang udara, sistem perisikan udara dan mengoptimumkan operasi TUDM.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

“Selain itu, ATM amnya dan khususnya TLDM dan TUDM sentiasa mendokong aspirasi pertahanan di dalam menjalin hubungan kerjasama serantau dan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif perkongsian berwibawa (hubungan dua hala dan pelbagai hala),” katanya Hishammuddin.

 

 DEFENCE SECURITY ASIA

Kelas KerisLaut China SelatanLMS Batch 2TLDM
Comments (0)
Add Comment