(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perolehan tiga buah helikopter Leonardo AW139 bagi kegunaan Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal meningkatkan lagi kemampuan TLDM untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara khususnya di Sabah.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kehadiran helikopter terbabit membolehkan rondaan penguatkuasaan dilaksanakan bersama aset sedia ada bagi mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan Sabah dan Sarawak seterusnya meningkatkan lagi kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.
Dua daripada tiga helikopter itu telah pun diterima oleh TLDM manakala sebuah lagi dijangka tiba pada September depan.
“Pembelian helikopter AW139 dibuat berpandukan kehendak pengguna akhir iaitu TLDM yang amat memerlukan helikopter Operasi Maritim (HOM). Keberadaan aset baharu ini juga adalah usaha yang mampu mengekalkan moral serta semangat anggota untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar.
“(Aset) ini dibekalkan lebih awal daripada apa dijadualkan dan berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada agensi dan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan Skuadron 503 serta penyerahan operasi HOM di Pangkalan TLDM di sini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Kontrak pembelian tiga buah helikopter operasi maritim TLDM itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.
Hishammuddin berkata Skuadron 503 ditubuh bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian HOM selain berperanan melaksanakan beberapa lagi tugasan utama antaranya pemantauan zon maritim Malaysia, operasi pasukan khas serta latihan kru udara dan warga kapal.
Beliau berkata skuadron baharu itu juga akan melaksanakan tugasan sekunder merangkumi operasi mencari dan menyelamat, membantu misi Medical Evacuation, Casualties Evacuation serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief .
Sebagai permulaan, seramai 25 pegawai dan 92 anggota akan mengoperasikan skuadron baharu itu di empat bahagian iaitu Keselamatan Penerbangan; Operasi dan Latihan; Pentadbiran dan Logistik serta Kejuruteraan Udara.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
“Skuadron 503 akan berada di bawah perintah operasi SUKK. Ini penting bagi meningkatkan lagi kecekapan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan khususnya di Armada Timur,” katanya.
Selain TLDM, helikopter Leonardo AW139 turut digunakan oleh agensi-agensi kerajaan Malaysia yang lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Helikopter bersaiz sederhana itu memiliki berat 6.4 tan dan menggunakan dua enjin Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC.
Dengan dua orang krew, helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam.– DSA