China Akan Hantar J-35A Pada Pakistan Enam Bulan Lebih Awal, Mula Operasi Suku Pertama 2026
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Beijing dilaporkan akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada Pakistan bagi memastikan sekutunya di rantau Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.
“Dengan Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A itu enam bulan, maka Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan generasi kelima itu pada awal tahun 2026.”
Sebelum ini Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan buatan China daripada 40 buah yang ia persetujui akan perolehi itu pada akhir 2026.
Setakat ini, laporan-laporan tentang Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A hanya bersandarkan kepada sumber tidak rasmi dan Defence Security Asia masih menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Pakistan, Tentera Udara Pakistan atau SAC yang membangunkan pesawat pejuang itu.
Laporan media pada akhir tahun lepas menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.

Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Ketua Staf Tentera Darat Pakistan Jeneral Asim Munir.
Dan pada April lalu, Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar juga mengadakan lawatan Beijing dan kehadiran beliau di ibu negara China itu telah mencetuskan lagi spekulasi hebat tentang perolehan pesawat pejuang generasi kelima, J-35A buatan kuasa besar Asia itu oleh sekutu utamanya di rantau Asia Selatan itu.
Menurut laporan oleh Global Times, Zaheer telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan China Dong Jun di Beijing pada 8 April lalu.
Menurut Global Times, pertemuan peringkat tinggi itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan dua hala antara kedua-dua negara di tengah-tengah cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Pada 2024 Zaheer dilaporkan berkata bahawa pesawat J-35A itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu “tidak lama lagi.”

“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
Malah, media-media Pakistan melaporkan bahawa tentera udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu, J-35A.
Media-media Pakistan juga menyatakan bahawa tentera udara negara itu telah mula menghantar juruterbangnya ke China untuk mengikuti latihan menerbangkan pesawat pejuang Shenyang J-35A membuktikan bahawa negara Asia Selatan itu sememangnya sedang menuju ke arah pemilikan pesawat pejuang generasi kelima.
J-35A merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh China untuk memodenkan kekuatan tenteranya dan mencabar dominasi udara yang sekian lama dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pesawat ini menggunakan konfigurasi dwi-enjin dan satu tempat duduk serta direka bentuk khusus untuk mengurangkan kebolehkesanan pengesanan radar (low observability), integrasi penderia canggih dan peperangan berasaskan rangkaian (networked warfare).
J-35A berfungsi sebagai “penyelaras” utama dalam rangkaian pertahanan udara, dengan keupayaan untuk mengunci sasaran, berkongsi data secara langsung dengan sistem lain seperti peluru berpandu darat ke udara, dan membimbing senjata ke arah sasaran untuk menumpaskan ancaman, termasuk pesawat musuh berteknologi halimunan (stealth) dan peluru berpandu kruis.
Pembangunan pesawat ini mencerminkan matlamat strategik China untuk membina armada pesawat pejuang halimunan yang berkuasa, mampu milik dan boleh dikerahkan secara besar-besaran, sebagai pengganti kepada pesawat-pesawat lama seperti J-7, J-8 dan J-10A.

Selain varian darat J-35A, China turut membangunkan varian laut dikenali sebagai J-35 yang direka untuk operasi di atas kapal pengangkut pesawat, menandakan serba-bolehnya platform ini merentasi semua cabang utama Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Reka bentuk pesawat J-35A memberi penekanan kepada ciri halimunan (stealth), kelincahan dan fleksibiliti operasi dalam pelbagai senario peperangan moden.
Rekabentuk badannya yang anggun dengan permukaan licin serta konfigurasi ekor berbentuk “V” membantu mengurangkan kebolehkesanan radar dan memperbaiki aliran aerodinamik bagi mengurangkan gangguan udara (turbulen).
Tidak seperti pesawat J-20 yang menggunakan konfigurasi canard, J-35A memilih reka bentuk sayap ekor konvensional bersama penstabil menegak yang lebih lebar dan condong secara unik untuk mengimbangi aspek kelincahan dan kebolehan halimunan.
Konfigurasi dwi-enjin bukan sahaja memberikan daya tujahan yang lebih besar berbanding pesawat satu enjin seperti F-35, tetapi juga menyediakan ciri keselamatan tambahan sekiranya berlaku kegagalan enjin—meskipun ia boleh menambah sedikit kesan radar (Radar Cross Section, RCS) disebabkan saiz fizikal yang lebih besar.
Tahap halimunan J-35A turut ditingkatkan melalui penggunaan bahan penyerap gelombang radar, panel bertebing bergerigi (serrated paneling), serta reka bentuk ekzos yang licin untuk mengurangkan kesan inframerah dan gelombang radar.
Ruang simpanan senjata dalaman (internal weapons bay) membolehkan pesawat ini membawa peluru berpandu canggih seperti PL-17 untuk misi serangan jarak jauh, tanpa menjejaskan kebolehan halimunan ketika beroperasi.

Sistem avionik yang lengkap dengan radar jenis AESA serta rangkaian penderia yang diedarkan secara meluas membolehkan kesedaran situasi (situational awareness) yang menyeluruh dan perkongsian data masa nyata, menjadikan J-35A sebagai “pengawal utama” dalam rangkaian peperangan moden—mirip peranan “quarterback” yang dimainkan oleh pesawat F-35 dalam sistem operasi tempur rangkaian Amerika Syarikat.
Spesifikasi Teknikal J-35A
Maklumat teknikal berikut adalah berdasarkan kepada prototaip FC-31 dan beberapa varian J-35 memandangkan data terperinci mengenai J-35A masih terhad dan sebahagiannya berbentuk spekulatif.
Sumber utama termasuklah Aviation Industry Corporation of China (AVIC), Aviation Week, Flight Global dan media kerajaan China, dengan beberapa perincian turut disokong oleh hantaran di platform X (dahulu Twitter) dan laporan atas talian.
Angka-angka yang dinyatakan adalah anggaran dan mungkin tidak mewakili sepenuhnya versi produksi akhir J-35A yang masih dalam fasa pembangunan.
Jenis: Pesawat pejuang halimunan bersaiz sederhana, dwi-enjin, pelbagai peranan
Krew: Seorang juruterbang
Dimensi:
-
Panjang: 17.3 meter (56.8 kaki)
-
Rentang sayap: 11.5 meter (37.7 kaki)
-
Ketinggian: Tidak dinyatakan secara rasmi, dianggarkan ~4.8 meter
Berat:
-
Berat maksimum berlepas: 28,000 kg (61,729 paun)
-
Berat kosong: Tidak didedahkan, dianggarkan antara 17,000–18,000 kg

Kuasa Enjin:
-
Enjin: 2 × Guizhou WS-21 (atau WS-13E bagi prototaip terdahulu) jenis turbofan afterburning
-
Daya tujahan: 87.2–93.2 kN (19,600–21,000 lbf) setiap satu dengan afterburner
-
Enjin masa depan: Dijangka WS-19 dengan daya tujahan sekitar 10 tan dan nisbah tujahan kepada berat (thrust-to-weight ratio) 9.8, membolehkan keupayaan supercruise
Prestasi:
-
Kelajuan maksimum: Mach 2.0 (prototaip FC-31 sebelum ini dicatatkan Mach 1.8)
-
Jejari tempur: 1,200 km (746 batu), berpotensi lebih jauh dengan bonggol bahan api dorsal pada J-35A
-
Siling operasi: 16,000 meter (52,493 kaki)
-
Supercruise: Dijangka mampu dengan penggunaan enjin WS-19, namun belum disahkan
Ciri Halimunan (Stealth):
-
Reka bentuk berprofil rendah dengan permukaan kawalan selari (edge-aligned control surfaces), salur masuk udara supersonik tanpa pemisah (Diverterless Supersonic Inlets, DSI), dan saluran udara berbentuk S (serpentine inlets) bagi menyembunyikan bilah enjin
-
Penggunaan bahan penyerap radar (Radar Absorbent Material, RAM) secara struktur dan luaran
-
Saiz keratan rentas radar (RCS) dianggarkan lebih tinggi berbanding F-35 (0.001 m²), namun masih dalam ambang pesawat halimunan
-
Dilengkapi lensa Luneburg bagi memantulkan radar secara disengajakan dalam misi bukan tempur
Avionik:
-
Radar Active Electronically Scanned Array (AESA), setara dengan sistem moden J-20A
-
Penderia elektro-optikal/inframerah (EO/IR) di bahagian dagu untuk penyasaran, seakan EOTS pada F-35
-
Apertur optik tersebar untuk liputan kesedaran situasi 360°
-
Paparan kepala atas holografik sudut lebar (wide-angle HUD), berkemungkinan dilengkapi paparan pada topi keledar
-
Kokpit jenis kaca moden dengan paparan skrin lebar
-
Keupayaan gabungan data penderia (sensor fusion) dan rangkaian operasi pelbagai domain

Persenjataan:
-
Ruang Senjata Dalaman: Satu ruang utama di bawah badan, mampu membawa 6 × peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 (varian lipat) atau munisi lain; muatan dalaman maksimum ~2,000 kg (4,400 lb)
-
External Hardpoints: 6 × titik bawah sayap, mampu membawa sehingga 6,000 kg (13,000 lb) muatan luar
-
Jumlah kapasiti senjata: Sehingga 8,000 kg (17,637 lb)
-
Jenis munisi: Termasuk peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-17, peluru berpandu udara-ke-darat dan bom panduan pintar
Gear Pendaratan:
-
Reka bentuk satu roda untuk operasi dari daratan (berbeza daripada J-35 varian kapal induk yang menggunakan gear berkembar)
Peranan:
-
Penguasaan udara, pemintasan, serangan darat dan penyelarasan sistem dalam peperangan berasaskan rangkaian
— DEFENCE SECURITY ASIA