Helikopter Operasi Maritim AW139 TLDM Sedia Beroperasi Awal Tahun Depan

Ketiga-tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) daripada jenis Leonardo AW-139 milik TLDM itu akan dibawa balik menggunakan kapal laut daripada Pelabuhan Savona di Itali dan destinasi terakhirnya adalah di Stesen Udara TLDM, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua daripada tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) daripada jenis Leonardo AW139 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menjalani fasa Pre-Delivery Inspection  sebelum dihantar pulang ke Malaysia dan dijangka tiba di negara awal tahun depan.

TLDM di dalam kenyataan menerusi akaun media sosialnya baru-baru ini berkata, mesyuarat Project Management Review (PMR) berkenaan kontrak perolehan tiga buah helikopter berkenaan telah diadakan di premis Leonardo Helicopter di Vergiate, Itali.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, pegawai kanan TLDM serta wakil daripada Kementerian Kewangan.

“Mesyuarat adalah untuk bagi membincangkan status pembinaan dan kemajuan projek bagi HOM TLDM dari jenis AW139 yang dijangka akan memasuki perkhidmatan TLDM pada suku tahun kedua 2022, “ menurut kenyataan oleh TLDM itu,

Delegasi daripada Malaysia itu juga dibawa melihat sendiri proses pemasangan helikopter dengan lebih dekat di final assembly line. 

(gambar kredit TLDM)

 

Kedua-dua helikopter TLDM terbabit dijangka akan dihantar pulang ke Malaysia di antara 17 Disember ini hingga 28 Februari 2022 selepas selesai menjalani fasa Pre-Delivery Inspection.

Manakala sebuah lagi helikopter itu akan dihantar pulang ke ini daripada 28 Februari 2022 hingga 31 Mei 2022.

Jadi, dalam bulan Mei tahun depan ketiga-tiga Helikopter Operasi Maritim milik TLDM itu sudah beroperasi di bumi Sabah,menabur bakti dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan bumi Sabah dan Malaysia.

Ketiga-tiga buah HOM milik TLDM itu akan dibawa balik menggunakan kapal laut daripada Pelabuhan Savona di Itali dan destinasi terakhirnya adalah di Stesen Udara TLDM, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

Kontrak pembelian tiga buah helikopter operasi maritim TLDM itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.

Helikopter AW139 milik PDRM
Kredit TLDM

 

Selain TLDM, helikopter Leonardo AW139 turut digunakan oleh agensi-agensi kerajaan Malaysia yang lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Memang banyak pelanggan helikopter Leonardo AW139 di Malaysia dan admin jangkakan pelanggannya bakal semakin bertambah tidak lama lagi daripada sektor keselamatan negara.

Pelanggan-pelanggan helikopter AW139 ini bukan sahaja di kalangan agensi kerajaan tetapi juga dikalangan sektor swasta.

Baru-baru ini juga, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad telah mengumumkan bahawa TUDM akan menyewa empat buah helikopter Leonardo AW139 bagi jangka pendek sebelum program penggantian helikopter “Nuri” bermula.

“Untuk jangka pendek (program penggantian helikopter Nuri), telah diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat,” kata Panglima TUDM.

Helikopter bersaiz sederhana itu memiliki berat 6.4 tan dan menggunakan dua enjin Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC.

Dengan dua orang krew, helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam.

Kredit TLDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

AW139HelikopterLeonardoTLDM
Comments (0)
Add Comment