Sewaan Empat AW139 Langkah Sementara Sebelum TUDM Perolehi 24 Helikopter Baru

TUDM dalam posting dalam media sosialnya baru-baru ini, helikopter AW 139 ini akan beroperasi di bawah kendalian No. 3 Skuadron yang sebelum ini merupakan skuadron yang mengoperasikan pesawat helikopter Nuri.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan TUDM menyewa empat buah helikopter Leonardo AW 139 daripada sebuah syarikat swasta merupakan  langkah sementara sebelum angkatan itu memperolehi  24 helikopter baru bagi menggantikan helikopter S-61 “Nuri” yang telah dibersarakan di atas faktor usia.

Menurut TUDM dalam posting dalam media sosialnya baru-baru ini, helikopter AW 139 ini akan beroperasi di bawah kendalian No. 3 Skuadron yang sebelum ini merupakan skuadron yang mengoperasikan pesawat helikopter Nuri.

Helikopter itu disewa daripada syarikat Westar Aviation Services Sdn Bhd mengguna konsep GOCOM (Government Operate Company Own and Maintain).

Helikopter Operasi Maritim  yang diperolehi  TLDM jenis Leonardo AW139

 

Kontrak sewaan helikopter ini adalah sebahagian daripada perancangan TUDM melalui pelan strategiknya, Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM atau RMAF Capability Development Plan 2055 (RMAF CAP55) serta digariskan dalam RMK-13 (2026-2030) bagi menggantikan operasi helikopter Nuri.

Ia merupakan kaedah jangka pendek yang dilaksanakan secara sewaan (leasing).

TUDM dijangka melakukan perolehan 24 buah helikopter baru bermula pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada tahun 2026-2030 sehingga RMK-14 bermula pada tahun 2031 hingga 2035.

Salah sebuah helikopter AW139 TUDM yang disewa guna konsep GOCOM (Government Operate Company Own and Maintain) Gambar kredit Fb Hishammuddin

 

24 buah helikopter baru untuk menggantikan helikopter Nuri itu akan diperolehi dalam dua peringkat, dengan 12 buah pada RMK-13 manakala 12 buah selebihnya diperolehi pada RMK14.

 TUDM memerlukan sebanyak 36 buah helikopter, dengan 12 buah keperluan itu telah pun dipenuhi menerusi penggunaan helikopter EC-725 pada ketika ini.

Pada masa ini, sebanyak tiga buah helikopter AW 139 telah diterima untuk sewaan manakala sebuah helikopter lagi dijadualkan akan diterima pada bulan Mei 2022.

Helikopter Airbus H225M (EC 725) milik Tentera Udara Diraja Malaysia. 

Menurut TUDM, penerimaan dan pengoperasian helikopter ini adalah bertujuan menampung keperluan operasi yang ketika ini dilaksanakan oleh helikopter EC 725 AP dalam penugasan Combat Search and Rescue (CSAR), Tactical Airlift dan Utiliti yang terkandung di dalam Pelan 4 Dimensi ATM.

TUDM memiliki 12 buah helikopter EC 725 AP (kini dikenali dengan nama Airbus HC225M).

Dengan pelaksanaan sewaan helikopter ini juga, ianya menjadi platform penting kepada fleet helikopter TUDM untuk mengekal dan meningkatkan kompetensi serta kemahiran anak kapal helikopter.

Helikopter Sikorsky S-61 “Nuri” TUDM yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh TUDM pada 2019.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Secara tidak langsung, ianya dapat memanfaatkan semula kepakaran anak kapal dalam bidang penerbangan.

Helikopter AW 139 TUDM ini akan berperanan dalam melaksanakan tugasan seperti Air Logistic Support and Resupply Flight, Military and Civil Communication Flight, Medical Evacuation (MEDEVAC), Casualty Evacuation (CASEVAC), Body Evacuation (BODEVAC) dan Humanitarian and Disaster Relief (HADR).

Helikopter AW 139 ini turut berkeupayaan melaksanakan peranan dan tugas utiliti fleet helikopter TUDM serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam.

Perolehan aset udara ini akan turut meningkatkan lagi kesiagaan dan keupayaan TUDM khususnya dalam melaksanakan operasi dan peranan utamanya dalam memelihara kedaulatan ruang udara negara. 

(gambar kredit FB Hishammuddin)

 

Penyewaan empat buah helikopter Leonardo AW139 itu adalah satu langkah jangka sementara, sebelum TUDM melakukan perolehan kira-kira 24 buah helikopter sebagai langkah jangka panjang  untuk menggantikan helikopter Nuri.— DSA

AW139EC725featuredTUDM
Comments (0)
Add Comment