Krew Kapal Filipina “Buta Seketika” Akibat Tembakan Laser Kapal Pengawal Pantai China

Insiden tembakan laser oleh kapal China itu berlaku pada 6 Feb lepas, kira-kira 20km daripada Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, yang diduduki oleh anggota Marines Filipina. Second Thomas Shoal itu turut dipanggil "Ayungin" oleh pihak Filipina, manakala Beijing pula memanggilnya Terumbu Karang Renai.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Filipina menuduh sebuah kapal pengawal pantai China telah bertindak menembak laser berwarna hijau ke arah sebuah kapal pengawal pantai miliknya di Laut China Selatan sehingga menyebabkan krew kapal itu buta buat seketika.

Insiden itu berlaku pada 6 Feb lepas, kira-kira 20km daripada Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, yang diduduki oleh anggota Marines Filipina.

Second Thomas Shoal itu turut dipanggil “Ayungin” oleh pihak Filipina, manakala Beijing pula memanggilnya Renai.

Kapal pengawal pantai Filipina tersebut sedang membantu misi penghantaran bekalan kepada anggota tentera Marines yang ditempatkan di sebuah kapal tentera laut lama di Second Thomas Shoal itu.

Tentera Marines Filipina menduduki kapal tentera laut lama dan tidak lagi berfungsi di Second Thomas Shoal itu untuk mengukuhkan lagi tuntutan Manila terhadap kawasan perairan itu.

Kapal pengawal pantai China itu menurut Manila, telah menembak laser berwarna hijau ke arah krew kapal pengawal pantai Filipina “sehingga menyebabkan krew-krew kapal yang berada di anjungan kapal itu buta buat seketika.”

Kapal pengawal pantai China itu juga didakwa melakukan manuver berbahaya dengan menghampiri kapal pengawal pantai Filipina itu pada jarak 140 meter.

“Tindakan menghadang secara sengaja kapal milik kerajaan Filipina yang menghantar bekalan kepada anggota tentera adalah tindakan melanggar kedaulatan Manila terhadap kawasan perairan di West Philippine Sea,” kata pengawal pantai Filipina.

Manila menggelar kawasan perairan di Laut China Selatan sebagai West Philippine Sea.

Jurucakap pengawal pantai Filipina Armando Balilo berkata, walaupun dihalang dan diganggu oleh kapal China itu, namun misi penghantaran bekalan terhadap anggota tentera di Second Thomas Shoal berjaya dilakukan.

Jurucakap tentera Filipina Medel Aquillar pula meminta China supaya menahan anggotanya daripada melakukan tindakan yang provokatif sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain.

Pihak Kementerian Luar China di Beijing mengatakan bahawa kapal pengawal pantainya itu bertindak selepas kapal pengawal pantai Filipina itu memasuki perairan miliknya di Laut China Selatan tanpa kebenaran.

Pejabat Presiden Filipina pula enggan memberikan sebarang kenyataan pada ketika ini berkenaan tindakan kapal pengawal pantai China itu.

Pada Februari tahun lepas, sebuah kapal milik Tentera Laut China didakwa menembak laser terhadap kapal peronda maritim Australia P-8 Poseidon di Laut Arafura sehingga membahayakan krew dan penerbangan itu.

Sebelum ini, kapal-kapal pengawal pantai China kerapkan kali menggunakan siren dan pancutan air untuk menghalang kapal-kapal negara lain daripada memasuki kawasan perairan yang didakwa sebagai miliknya di Laut China Selatan.

Pada 2016, Permanent Court of Arbitration Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuat keputusan bahawa tuntutan China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan itu tidak mempunyai sebarang asas daripada segi sejarah.DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ButaChinafeaturedFilipinaLaserSecond Thomas Shoal