Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Akhirnya Selepas 10 Tahun, Kem Tentera Darat Felda Sahabat Mula Dibina

Pembinaan kem tentera darat di Felda Sahabat, Lahad Datu bernilai RM646.15 juta itu telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melakukan lawatan kerja ke Sabah baru-baru ini.

0 4,705

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas 10 tahun berlakunya insiden berdarah pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu, barulah kerajaan mengumumkan bahawa pembinaan sebuah kem tentera darat di Felda Sahabat, Lahad Datu akan bermula tidak lama lagi.

Pembinaan kem tentera darat di Felda Sahabat bernilai RM646.15 juta itu telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika beliau melakukan lawatan ke Sabah baru-baru ini.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata pembinaan kem di Felda Sahabat itu akan meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman semasa serta mengukuhkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

Menurut beliau, pembinaan kem itu bertujuan memindahkan satu batalion infantri dan unit Briged Ke-13 Infantri.

“Rancangan kita ialah membina satu lagi briged di medan timur dan kita akan membina sebuah lagi kem baharu.

Lahad Datu

“Sekarang ada dua briged, dengan tiga briged lengkap untuk satu divisyen beroperasi,” kata beliau kepada pemberita.

Menurut Mohamad, keberadaan pos dan kawalan tentera serta kem tentera yang baru dilihat dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada ATM.

Cadangan pembinaan sebuah kem di Felda Sahabat ini mula kedengaran seawal April 2013 iaitu hanya beberapa bulan selepas insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu apabila disuarakan oleh Panglima ATM ketika itu.

Kem tentera darat di Felda Sahabat itu bertujuan menempatkan kekuatan satu battalion 800 anggota tentera dan pegawai, menurut PAT pada ketika itu.

Lahad Datu

Mengapa ia mengambil selama 10 tahun untuk membina sebuah kem tentera darat di Felda Sahabat di Lahad Datu? Persoalan itu perlu ditanya pada menteri-menteri pertahanan sebelum ini.

Ia mungkin berkait-rapat dengan peruntukan tahunan pertahanan negara yang rendah berbanding dengan cabaran pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa yang terpaksa ditangani oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Cabaran-cabaran pertahanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa yang terpaksa ditangani oleh ATM diakui semakin rumit dan kompleks, namun peruntukan pertahanan negara tidak menggambarkan keseriusan kita dalam menghadapi cabaran itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...