Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jeneral Polis Indonesia Dihukum Mati Kerana Bunuh Pengawal Peribadinya

Majlis hakim Mahkamah Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Ketua Bahagian Profesion dan Pengamanan Polis Indonesia Jeneral Ferdy Sambo kerana merancang pembunuhan pengawal peribadinya, Brigadier Jeneral Nofriansyah Yosua Hutabarat pada 8 Julai yang lalu. Isteri Ferdy, Putri Candrawathi pula dihukum penjara 20 tahun.

0 4,444

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bekas pegawai kanan pasukan Polis Indonesia, Jeneral Ferdy Sambo dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah merancang membunuh pengawal peribadinya atau aide-de-camp, Brigadier Jen Nofriansyah Yosua Hutabarat pada 8 Julai yang lalu.

Kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan bekas Ketua Bahagian Profesion dan Pengamanan Polis Indonesia    yang menarik perhatian seluruh negara penduduk padat itu, telah menjejaskan imej dan kedudukan pasukan polis Indonesia di mata rakyat negara itu.

Pembunuhan Hutabarat itu berlaku di kediaman rasmi Ferdy di Kompleks Duren Tiga di Jakarta Selatan kira-kira pukul 3.28 petang hingga pukul 4 petang.

Hukuman mati terhadap jeneral polis itu telah diumumkan oleh Hakim Mahkamah Jakarta Selatan Wahyu Iman Santoso setelah majlis tiga hakim mendapatinya bersalah.

“[Mahkamah] mengisytiharkan defendan Ferdy Sambo bersalah secara meyakinkan dan sah kerana melakukan jenayah pembunuhan terancang… dan menjatuhkan hukuman mati kepada defendan,” kata beliau.

Jeneral
Ferdy Sambo dan isterinya, Putri Candrawathi.

 

Pada hari yang  sama juga, majlis tiga hakim itu turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap isteri Ferdy, Putri Candrawathi kerana terlibat dalam perancangan untuk membunuh Hutabarat.

Sambo yang merupakan jeneral dua bintang polis Indonesia telah dinamakan sebagai suspek selepas pengawal peribadinya itu ditemukan mati di rumah Sambo pada Julai, dalam pembunuhan yang pada mulanya didakwa cuba disembunyikan.

Beliau juga didapati bersalah kerana menghalang keadilan dengan mengarahkan supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan.

Menurut Wahyu, tindakan Ferdy telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat awam dan sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Jeneral
Ferdy dan Brig Jen Yoshua Hutabarat.

 

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan juga menolak hujah pembelaan bahawa Hutabarat telah melakukan gangguan seksual terhadap isteri Ferdy, berikutan kekurangan bukti.

Mahkamah mendapati Ferdy telah mengarahkan pengawal peribadi yang lain untuk menembak dan membunuh Nofriansyah dan dia turut melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam kejadian yang berlaku di kediaman rasminya di Jakarta Selatan.

Sambo telah dipecat pada 25 Ogos 2022 manakala isterinya, Putri Candrawathi dan tiga lagi pembantu turut didakwa atas tuduhan terbabit dalam pembunuhan yang dirancang.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...