Korea Utara Mula Hantar Tentera Bagi Bantu Kempen Ketenteraan Russia di Ukraine

Unit kejuruteraan tentera Korea Utara itu dijangka tiba di wilayah Donetsk pada bulan depan, sekaligus menimbulkan kebmbangan di seluruh dunia bahawa Pyongyang akan terlibat dengan lebih aktif dalam peperangan di Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seminggu selepas Russia dan Korea Utara menandatangani perjanjian pertahanan, Pyongyang mengumumkan bahawa ia akan menghantar unit tenteranya ke Ukraine untuk membantu tentera Russia yang sedang berperang di negara itu.

Unit kejuruteraan Tentera Korea Utara yang akan dihantar ke wilayah Donetsk itu akan membantu kempen ketenteraan Russia di negara itu.

Unit kejuruteraan tentera Korea Utara itu dijangka tiba di wilayah Donetsk pada bulan depan, sekaligus menimbulkan kebmbangan di seluruh dunia bahawa Pyongyang akan terlibat dengan lebih aktif dalam peperangan di Ukraine.

Seperti biasa, berita tentang penghantaran unit kejuruteraan tentera Korea Utara ke Ukraine telah disambut dengan ancaman oleh Amerika Syarikat.

Washington menyatakan bahawa tentera Korea Utara yang dihantar ke Ukraine itu akan “disembelih” dan mempersoalkan kewajaran Pyongyang menghantar tenteranya ke Ukraine untuk membantu kempen ketenteraan Russia.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat berkata, jika beliau adalah anggota tentera Korea Utara, maka, beliau akan mempersoalkan penghantarannya ke Ukraine bagi menyertai peperangan haram di negara Eropah Timur itu.

Peluru berpandu hypersonik jarak sederhana terbaru Korea Utara, Hwasong-16B

 

Katanya, Amerika Syarikat akan terus memantau hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara Moscow dan Pyongyang.

Minggu lepas, Presiden Vladimir Putin telah melawat Korea Utara, yang merupakan lawatan pertamanya ke Pyongyang selama 24 tahun.

Dalam lawatnnya ke Pyongyang itu, Presiden Putin dan rakan sejawatannya Kim Jong Un telah menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan.

Perjanjian ketenteraan Russia-Korea Utara itu menyebut: “Dalam keadaan di mana mana-mana satu pihak berada di dalam keadan perang dengan pencerobohan daripada negara lain atau beberapa negara, pihak yang lagi satu perlu memberikan bantuan ketenteraan dan bantuan lain dengan segala upaya tanpa berlengah.”

Sebelum ini, walaupun tanpa perjanjian ketenteraan di antara Moscow dan Pyongyang, namun Korea Utara dilaporkan telah menghantar pelbagai bantuan ketenteraan kepada Russia.

Pada akhir tahun lepas,  Korea Utara dilapor telah membekalkan peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) kepada Russia untuk digunakan oleh tenteranya pada konflik di Ukraine.

Pelancaran peluru berpandu Korea Utara

 

Pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, kapal-kapal membawa kontena terbabit telah belayar daripada Rajin, Wilayah Hamgyong Utara ke Vladivostok di Timur Jauh Russia.

Jumlah 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu dan pelbagai peluru yang dihantar Korea Utara ke Russia adalah lebih banyak maklumat Amerika Syarikat yang mengatakan sjumlah 1,000 buah kontena telah dhantar oleh Korea Utara berdasarkan kepada imej-imej satelit.

Pihak tentera Korea Selatan mengesyaki 2,000 kontena itu mengandungi lebih daripada 200,000 peluru meriam 122mm dan lebih sejuta peluru meriam 152mm serta peluru-peluru untuk senjata lain.

“Petanda bahawa Korea Utara membekalkan senjata dan peluru kepada Russia telah dikesan sejak pertengahan tahun lepas dan penghantaran kontena-kontena itu telah dipertingkatkan pada Ogos lalu sebelum kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia, “ kata pegawai Korea Selatan.

Terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa bagi membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Korea Utara telah menghantar peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) terbaru keluarannya, Hwasong-11 (KN-23) untuk digunakan oleh Moscow.

Menurut pakar-pakar senjata yang dipetik oleh media antarabangsa, Russia telah mengerah peluru berpandu ballistik buatan Korea Utara yang boleh dilancar dan disembunyi dengan cepat, selain boleh membedil sasaran dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 itu sukar untuk ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, namun apa yang penting adalah, bekalan peluru-peluru berpandu ballistik daripada Korea Utara itu telah menambah pilihan senjata yang dimiliki oleh Moscow dalam kempen ketenteraannya terhadap Kiev.

Russia dipercayai menggunakan peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 untuk membedil Ukraine dalam dua kejadian yang berlaku pada 30 Disember 2023 dan juga 2 Jan 2024. — DSA

 

featuredKorea UtaraRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment