(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan merancang membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat untuk digunakan oleh pesawat pejuang generasi 4.5, KF-21 “Boramae” yang akan diproduksi oleh negara Asia Timur itu secara besar-besaran bermula pada tahun ini.
Menurut agensi pertahanan negara itu, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat menggunakan teknologi tempatan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak US$460 juta (RM2 billion).
“Program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat itu mensasarkan tahun 2035 untuk menghasilkan peluru berpandu itu.”
Program itu akan menambah baik kemampuan industri pertahanan tempatan menerusi pembangunan sistem pertahanan yang canggih serta meningkatkan lagi eksport peluru berpandu tempatan yang dikaitkan dengan pesawat pejuang KF-21.
Sebelum ini, pesawat pejuang KF-21 Boramae yang sedang dibangunkan itu telah pun melakukan ujian-ujian peluru berpandu udara-udara menggunakan peluru berpandu BRV “Meteor” dan juga IRIS-T.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, Korea Selatan akan memulakan produksi besar-besaran (mass production) untuk pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” selepas ia selesai menjalani pelbagai ujian teknikal.
Pembangunan pesawat pejuang KF-21 oleh Korea Aerospace Industries (KAI) adalah komponen penting dalam strategi pertahanan Korea Selatan.
Pihak perancang tentera negara Asia Timur itu mahu memastikan pesawat pejuang KF-21 itu diproduksi secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat mengelak terjadinya “capability gap” apabila pesawat-pesawat pejuang berusia seperti F-4E Phantom dan F-5 dibersarakan daripada Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).
Pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah lulus segala ujian teknikal khusus bagi membolehkan ia dibina secara besar-besaran pada tahun ini.
Menurut DAPA, pesawat KF-21 itu telah lulus ujian teknikal dipanggil “Provisional Combat Suitability Evaluation” bagi memulakan produksi besar-besaran itu pada tahun ini.
Sejak pesawat prototaip KF-21 yang pertama diperkenalkan kepada khalayak umum pada April tahun lepas, pihak berkuasa Korea Selatan telah melakukan pelbagai ujian teknikal terhadap pesawat prototaip itu.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2030.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah dan bakal menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.
Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21. — DSA
CLICK FOR DEFENCE SECURITY ASIA APPS